Anjung KL Guest House
(Post: Bahasa Melayu)
"Bermalam di sini memang menjimatkan bagi pelancong yang ingin berada di Malaysia untuk tempoh yang lama. Walaupun tidak seperti tinggal di hotel mewah tetapi dengan adanya kemudahan asas, ia sudah memadai."
Itulah reaksi seorang pelancong dari Sweden, Jeremy Brown yang memilih untuk menginap di Anjung KL Guest House di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selama lima hari bersama rakan-rakannya.
Dilihat dari luar, rumah teres lama yang masih kekal cantik struktur binaannya itu sudah empat tahun mengendalikan perniagaan penginapan bajet.
Anjung KL Guest House yang sering menerima kunjungan pelancong asing tidak pernah sunyi menerima tetamu.
Boleh dikatakan setiap hujung minggu kesemua 13 bilik dipenuhi dengan pelancong.
Malahan pada hari biasa, pengusaha juga tidak menang tangan menerima tempahan bilik.
Memilih konsep kontemporari, tidak hairan mengapa Anjung KL Guest House sering mendapat sambutan daripada golongan backpacker dari luar negara dan tempatan.
Rumah lama tiga tingkat itu, digunakan sepenuhnya untuk dijadikan bilik penginapan yang selesa. Bagaimanapun, setiap bilik tidak disediakan tandas. Tetamu yang menginap di sini perlu berkongsi kemudahan tandas yang berada di tingkat dua dan bawah.
Meskipun ia perlu berkongsi, Anjung KL Guest House sentiasa memastikan kebersihannya terjaga rapi iaitu setiap kali tandas tersebut digunakan oleh tetamu, ia terus akan dibersihkan.
Selain itu, tetamu yang ingin menonton televisyen perlu turun ke tingkat bawah kerana setiap bilik tidak disediakan kemudahan itu. Ruang rehat yang menyediakan sofa empuk dan televisyen itu sudah cukup untuk anda berehat sejenak.
Ini kerana kebiasaannya, tetamu tidak memilih untuk berada di bilik masing-masing terlalu lama. Kebanyakan mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan bersiar-siar dan bilik hanya untuk melepaskan penat dan tidur sahaja.
"Memang kita tidak sediakan televisyen dan peti sejuk di dalam setiap bilik tetapi pendingin hawa tetap ada. Konsep yang kita terapkan ini tidak mendatangkan masalah kepada tetamu.
"Sekiranya mereka ingin menonton televisyen, menyimpan makanan di dalam peti sejuk dan menggunakan seterika,ia terdapat di tingkat bawah," jelas Pengurus Anjung KL Guest House, Ken Oh.
Dalam pada itu, bagi tetamu yang datang secara kumpulan, Anjung KL Guest House turut menyediakan sebuah bilik asrama yang memuatkan lapan orang penghuni. Bagaimanapun, kadar tempahan bilik asrama dikira berdasarkan bilangan penghuninya iaitu RM30 seorang untuk semalaman.
Walaupun persekitaran Anjung KL Guest House dikelilingi dengan kesibukan kereta yang lalu lalang dan premis perniagaan, anda tidak perlu risau berhubung keselamatan. Ini kerana terdapat enam kamera litar tertutup (CCTV) mengawasi setiap sudut Anjung KL Guest House.
Sementara itu, kemudahan bas pengantara dari penginapan ke Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga disediakan pada harga yang murah.
"Untuk memudahkan tetamu supaya mereka tidak bersusah payah mendapatkan kenderaan ke lapangan terbang, kami menyediakan bas dengan bayaran serendah RM20 seorang," ujar Ken.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment