CT-ONE Forze Café
(Post: Bahasa Melayu)
"CT-ONE FORZE CAFE merupakan salah satu cabang perniagaan baru syarikat CT-ONE Corporation Sdn. Bhd. (CT-ONE) yang terlibat sebagai salah sebuah syarikat yang menguruskan pembekalan peralatan kepada Angkatan Tentera Malaysia."
Baru dilancarkan pada 11 Julai 2009, kafe berkonsep ketenteraan yang pertama di Malaysia.
CT-ONE FORZE CAFE mula menarik perhatian masyarakat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan sekitarnya.
Ini berikutan kelainan yang ditampilkan oleh pihak pengurusan kafe berkenaan terutama dalam aspek dekorasi, hiasan, penggunaan pinggan ala-ala tentera, layanan dan juga keunikan menu yang pasti menambat hati pengunjung.
Menurut Pengarah Urusan CT-ONE FORZE CAFE, Mejar (B) Adnan Hashim, kafe itu diwujudkan atas dasar cintanya pada kerjaya yang pernah disandangnya satu ketika dahulu.
"Atas sebab itulah, saya berusaha menubuhkan kafe ini sebagai salah satu lokasi santai untuk golongan veteran rakan-rakan tentera. Paling tidak, apabila berkunjung ke sini, mereka boleh mengimbas kembali kisah-kisah lama dan berkongsi pengalaman masing-masing," kata Adnan.
Paling istimewa tambah beliau, kafe ini memberi potongan harga sebanyak lima peratus kepada bekas anggota tentera tanpa mengira pangkat bagi menghargai pengorbanan dan jasa mereka kepada negara.
Dalam pada itu, suasana di kafe ini memang jelas menyerlahkan semangat ketenteraan menerusi pemilihan filem dan lagu yang bertemakan tentera serta patriotik yang sentiasa dimainkan sebagai halwa mata dan telinga pengunjung.
Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, kafe ini turut menyediakan perkhidmatan Wi-Fi untuk memudahkan pengunjung melayari Internet tanpa sebarang bayaran dan juga ruang solat bagi mereka yang mahu menunaikan kewajipan tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengurus Jualan & Pemasaran CT-ONE FORZE CAFE, Firdaus Wong, berkata, konsep kafe itu sesuai dengan temanya termasuk setiap menu yang dihidangkan juga berkonsepkan tentera atau dalam erti kata lain 'mententerakan makanan'.
"Pemilihan menu dilakukan secara kolektif untuk menjadikannya unik berbanding dengan menu biasa yang ada dijual di tempat lain."
"Antaranya ialah menu nasi hijau yang dihidang dengan aneka sajian sama ada chicken chop, gulai ayam, daging masak lemak, ikan keli dan sebagainya, bergantung pada selera pelanggan. Ia turut dikenali sebagai Military Set."
"Istimewanya sajian ini adalah ia dihidangkan di dalam messtin iaitu sejenis peralatan yang biasanya digunakan untuk memasak atau menghidangkan makanan jika bertugas di dalam hutan."
Tidak ketinggalan, air minuman yang dijual dinamakan sempena terma-terma ketenteraan seperti Ambush Drink, Military Delights Drink, Military Refreshing Fruit Juice dan Military Milk Shake.
"Ambush Drink, contohnya merupakan gabungan minuman bertenaga dan minuman biasa seperti oren, anggur dan sebagainya untuk memberi kesegaran kepada sesiapa yang menikmatinya."
Dengan keluasan 2,000 kaki persegi (610 meter persegi), kafe ini boleh memuatkan kira-kira 80 pengunjung dalam satu-satu masa. Ia juga menyediakan sebuah bilik khas yang boleh diduduki oleh 10 orang jika mahukan privasi ketika berada di sana.
Untuk jangka masa panjang, pihak pengurusan akan sentiasa memperbaiki serta memperkemaskan lagi ciri-ciri atau konsep ketenteraan dan kemudahan sedia ada dari semasa ke semasa melalui idea pengunjung yang terdiri daripada komuniti tentera dan orang ramai.
Malah, Adnan memberitahu, pihaknya mempunyai matlamat untuk membesarkan lagi perniagaan ini dengan pembukaan cawangan atau outlet-outlet baru menerusi kaedah francais yang mengutamakan kakitangan pengasas dan bekas-bekas tentera.
Berpegang pada cogan kata keramat 'Ya, Kami Boleh dan Doakan Kejayaan Kami', Adnan percaya CT-ONE FORZE CAFE akan mengorak langkah untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.
INFO:
CT-ONE Forze Café
38, Jalan Wangsa Delima 2A,
Seksyen 5, Wangsa Maju,
53300 Kuala Lumpur,
Telefon: 03-41427460 / 03-41424462
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment