Homestay di Raub Pahang
(Post: Bahasa Melayu)
" Keseronokan dan keunikan merasai pengalaman menginap di homestay sering kali menjadi buah mulut para pelibur khususnya pelancong domestik.
Konsep inap desa itu pasti akan membuatkan sesiapa sahaja yang mendengar berasa teringin dan teruja untuk merasai sendiri tawaran pakej yang banyak disediakan di negara ini.
Oleh itu, jemputan Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mengunjungi rumah peserta Inap Desa Kampung Sungai Pasu dan Kampung Gali Hilir di Raub, Pahang tidak dilepaskan oleh Kosmo!.
Inap Desa Sungai Pasu sememangnya tidak asing dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara. Cuma kunjungan kali ini turut memperkenalkan tarikan di sebuah lagi inap desa iaitu Kampung Gali Hilir.
Inap Desa Sungai Pasu yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sejak tahun 2002 merupakan salah satu daripada banyak inap desa yang aktif di negara ini.
Terletak hanya 13 kilometer dari bandar Raub atau 150 kilometer dari Kuala Lumpur, keindahan kampung dengan kedudukan rumah yang tersusun dan masing-masing dihiasi landskap pokok bunga di pekarangannya sudah cukup menyenangkan pengunjung.
Pengalaman desa
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd. Zambri Maarof, 45, berkata, sejak memulakan operasi inap desa pada 1992, kini terdapat 22 buah rumah yang terlibat menyediakan pakej inap desa sekali gus memberi pengalaman kehidupan desa sebenar.
Katanya, pelancong akan disajikan dengan gaya hidup kampung tradisional bersama keluarga angkat dalam suasana damai dan udara yang bersih lagi menyegarkan.
Katanya, keistimewaan dan keunikan Inap Desa Sungai Pasu datangnya daripada aktiviti-aktiviti yang disediakan peserta program inap desa yang terlibat.
"Selain mendalami budaya masyarakat Melayu Pahang, antara permainan tradisional yang boleh disertai ialah permainan tradisional seperti bermain gasing, congkak dan batu seremban serta persembahan tarian," katanya.
Selain itu, tambah Mohd. Zambri, pengunjung turut didedahkan dengan aktiviti harian penduduk tempatan yang mencari sumber rezeki melalui aktiviti menoreh getah dan bekerja di ladang kelapa sawit.
Selain daripada itu, pertunjukan masakan hidangan tradisional Pahang dan Jawa juga sentiasa mendapat perhatian tetamu inap desa. Masakan seperti sambal goreng tempe, sambal hitam, ikan masak tempoyak dan pulut turut disediakan para wanita tempatan selain kuih-muih tradisional.
Kampung terbersih
Peserta program inap desa, Norhaila Serahan, 36, berkata, kerana keindahan dan kebersihan di sini, Kampung Sungai Pasu pernah memenangi pertandingan kampung terbersih peringkat negeri selama beberapa tahun.
Katanya, ketibaan pelancong akan disambut dengan majlis penuh tradisi dan berwarna-warni bagi memperkenalkan adat budaya tempatan.
"Setiap pelancong akan dilayan seperti sebahagian daripada keluarga tuan rumah. Mereka akan makan apa yang tuan rumah makan dan bergaul mesra dengan ahli keluarga tuan rumah."
"Tuan rumah akan menyediakan bilik mengikut kehendak dan keperluan pelancong. Mereka akan tinggal sebumbung bersama peserta (tuan rumah) inap desa di sini," katanya.
Majoriti penduduk kampung itu, jelasnya, terdiri daripada orang Melayu berketurunan Jawa yang telah menetap di daerahtersebut sejak lebih 50 tahun lalu.
"Pertembungan budaya antara Jawa dan Melayu sekali gus menghasilkan cara hidup dan adat resam yang unik serta menarik," ujarnya.
Di samping itu, jelas Norhaila, kampung itu turut didiami masyarakat Orang Asli suku Che Wong yang mengamalkan cara hidup separa moden.
Para pelancong dapat melihat dan menyaksikan sendiri cara hidup unik masyarakat minoriti itu.
Lazimnya, para tetamu inap desa akan dibawa melawat ke perkampungan Orang Asli untuk menyaksikan demonstrasi menyumpit dan tarian sewang serta budaya hidup suku tersebut.
"Tetamu homestay juga berpeluang menyumpit dan mencuba tarian sewang yang sangat mengasyikkan itu," jelasnya.
Ternakan ikan
Di Kampung Sungai Pasu, keluarga peserta program inap desa itu turut mengujakan tetamu dengan tarikan di kolam ternakan ikan air tawar mereka.
Ternakan ikan tilapia, patin dan tongsan sudah menjadi sebahagian daripada usaha menambah sumber pendapatan mereka. Lebih menarik, para tetamu homestay dibenarkan memancing tanpa bayaran.
Antara aktiviti lain dalam pakej penginapan homestay itu termasuklah lawatan ke Pusat Perlindungan Gajah dan Deerland di Lanchang, Temerloh. Tetamu boleh merasai sendiri pengalaman menunggang dan memandikan gajah.
Bagi yang inginkan lebih elemen lasak, aktiviti sukan air seperti berakit dan berkayak serta terbang keluang (flying fox) turut disediakan di Taman Tasik Sungai Pasu.
Di samping itu, pelancong turut dibawa dalam aktiviti treking di Hutan Simpan Ulu Dong untuk melihat bunga rafflesia yang tumbuh liar.
Sebagai tarikan bonus, inap desa tersebut juga terletak hanya lima kilometer dari pusat rekreasi Lata Jarum dan Pulau Chekas yang terletak dalam kawasan hutan simpan tersebut.
Tangkap itik
Sementara itu, Pengendali Tasik Kampung Sungai Pasu, Salman Wagirun, 43, berkata, inap desa di sini turut menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi di Tasik Kampung Sungai Pasu yang telah beroperasi 18 tahun itu.
"Peserta inap desa diberi peluang untuk berkayak mengelilingi tasik dan duduk bersantai sambil memancing ikan dengan hanya menggunakan pancing tradisional."
"Selain itu, aktiviti yang cukup menyeronokkan ialah menangkap itik dan ikan di dalam lumpur, berakit serta bermain gasing," katanya.
Tidak ketinggalan, terdapat juga tapak perkhemahan seluas 1.2 hektar dan dewan serba guna juga turut tersedia di dalam kawasan tasik seluas 3.2 hektar itu.
Tasik pelbagai guna itu sememangnya menjadi tumpuan untuk bersiar-siar dan bersantai, apatah lagi di tengah-tengahnya telah dibina sebuah jambatan.
Dengan keadaan sekeliling tasik yang dipenuhi rimbunan pokok buah-buahan, sesiapa sahaja akan berasa damai dan seronok.
Tambah Salman, kedamaian itu sememangnya sukar diperoleh di bandar.
Keseronokan berkayak, menoreh getah dan melakukan aktiviti-aktiviti kampung sememangnya cukup bermakna terutama bagi yang sudah lama hidup di kota konkrit.
Justeru, bagi yang inginkan kelainan semasa bercuti, merasai kehidupan desa di Inap Desa Kampung Sungai Pasu dan Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang adalah pilihan terbaik.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi Mohd. Zambri di talian 019-9906222 atau penyelaras homestay, Sumi Ngah di talian 019-3142558.
Sumber: Kosmo! Online