ATTENTION !!!

Showing posts with label kereta. Show all posts
Showing posts with label kereta. Show all posts

Saturday, September 4, 2010

Putrajaya Cell City Car

(Post: Bahasa Melayu)
" Barangkali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini. Tempat-tempat parkir di Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara sejak tahun 1999 makin sesak hingga tidak berkeupayaan menampung tetamu kerajaan lagi. "

Bahkan, tempias kepada dilema itu turut terkena kepada pekerja agensi kerajaan yang bekerja di sana.

Timbul juga suara-suara nakal yang mengatakan kesesakan parkir di Putrajaya itu menyamai dengan hiruk-pikuk dan kepadatan bandar raya Kuala Lumpur.

Idea kepada sistem Park & Ride yang diwujudkan Perbadanan Putrajaya (PPj) pula dipandang sepi dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Usaha selanjutnya, PPj memutuskan tiada lagi tempat letak kereta percuma di Kompleks A, B, C, D dan E. Biarpun dua langkah itu belum berjaya secara menyeluruh, usaha itu sangat dihargai.

Namun, bagi sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), senario kepayahan mendapat tempat letak kereta tersebut menyuntik inspirasi dalam penciptaan kenderaan baru yang bakal mengubah wajah Putrajaya.

Enam pereka anak tempatan menghasilkan sebuah model kereta kompak elektrik berteknologi tinggi untuk membantu mengurangkan masalah kekurangan parkir di Putrajaya. Dengan saiz kereta yang lebih kecil, jumlah tapak parkir dapat digandakan.

Ketua Penyelidiknya, Sazrinee Zainal Abidin, 33, berkata, pembikinan kereta dengan mengetengahkan konsep futuristik yang dikenali sebagai Putrajaya Cell City Car (PCCC) bertujuan untuk mengurangkan masalah parkir yang semakin kritikal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

"Sebagai contoh, ruang parkir untuk 500 buah model kereta biasa pada hari ini, boleh menampung sehingga 1,000 buah PCCC," ujar Sazrinee yang membayangkan kemungkinan itu jika warga Putrajaya memiliki model ciptaannya.

PCCC mempunyai tiga tayar iaitu dua di hadapan manakala satu lagi di bahagian belakang kereta. Ia direka sedemikian rupa untuk memberi momentum perjalanan yang sekata dan memastikan pengendalian dengan lebih stabil sepanjang masa.

"Dalam pada itu, reka bentuk PCCC yang bersifat futuristik dijangka mampu memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa dahagakan sesuatu yang terkini dan canggih."

"Dari segi saiz pula, kereta kompak mesra alam ini mempunyai persamaan dengan jentera antarabangsa Smart keluaran Mercedes Benz dan kereta tempatan Perodua Kancil," kata Sazrinee.

Meskipun bersaiz kecil, kenderaan elektrik itu dianggarkan mampu memecut sehingga mencecah kelajuan 150 kilometer (km) sejam.

"Melalui penyelidikan yang dibuat, ia mencetuskan idea untuk mencipta kenderaan serba moden. Selain isu parkir, kereta ini mudah dikendalikan dan selesa dipandu di kawasan urban seperti Putrajaya."

"Kereta elektrik ini juga mampu menakluk kawasan berbukit-bukau dan bersimpang-siur sekali gus menjadikannya sebuah kenderaan yang unik," beritahu penyelidik wanita ini.

Kereta mesra alam

Kehebatan kereta kompak itu bereksprimentalkan mesra alam kerana tidak bergantung kepada sumber petrol mahupun diesel.

Penekanan terhadap mesra alam merupakan antara kriteria penting dalam pembikinan kereta kompak itu jika dibandingkan dengan kereta kompak yang lain.

Selain Sazrinie, pereka-pereka lain yang turut menggembleng tenaga dan idea termasuklah penuntut di Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk, Mohd. Amil Faesal Fauzi, 27; dan kumpulan pensyarah dari fakulti terebut iaitu Mohd. Shahrizal Dolah, 38; Shahrul Azman Shahbudin, 43; Muhamad Faizal Che Leh, 37 serta Dr. Zulkifli Muslim, 49.

Dalam mengartikulasikan ilham reka cipta kereta serba canggih dan mesra alam itu, anak-anak tempatan tersebut mengambil masa kira-kira lebih kurang setahun.

Seperti penghasilan produk-produk baru yang lain, mereka juga tidak terkecuali dalam berdepan dengan cabaran dan dugaan.

Cabaran utama adalah bagi memastikan keselesaan dan kesesuaiannya reka bentuknya kepada pengguna kelak.

Mereka perlu mengutamakan penggunaan teknologi hijau dalam pembikinan kereta kompak berkenaan agar ia bersesuaian dengan keperluan tenaga masa hadapan.

"Menyedari kereta elektrik dilihat bakal menjadi teknologi kenderaan pada masa hadapan, penggunaan sumber elektrik ditekankan dalam pembikinan kereta ini."

"Penggunaan sumber bateri pada kereta kompak ini juga mampu bertahan selama 48 jam. Jadi pengguna boleh menggunakan jentera berkenaan selama dua hari tanpa perlu mengecasnya semula," ujarnya.

Kata Sazrinie, pengeluar kenderaan turut memberi perhatian dalam memulihara alam sekitar dan secara tidak langsung mereka mengeluarkan kenderaan kos efektif kepada pengguna.

Dalam pada itu, Sazrinee menegaskan aspek keselamatan merupakan perkara yang dititikberatkan.

Kos efektif

Ujarnya, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan dalam pembangunan dan penyelidikan jentera seperti kereta kompak ini supaya ia selamat digunakan.

"Kita tidak melupakan aspek penyelenggaraan yang kos efektif kerana tidak mahu membebankan orang ramai yang ingin menggunakan jentera itu kelak," katanya.

Adakah kenderaan elektrik itu dihasilkan untuk kegunaan penduduk atau mereka yang bekerja di Putrajaya sahaja?

Sazrinie menjawab, buat masa ini sasaran mereka hanya tertumpu di bandar itu tetapi ia akan berubah sekiranya ada permintaan daripada pengguna.

"Kita tidak boleh meramal masa hadapan tetapi jika ada permintaan tidak mustahil ia digunakan di tempat lain selain di Putrajaya," ujarnya.

Menyentuh mengenai bahan-bahan yang akan digunakan dalam pembikinan PCCC, Sazrinee memberitahu, ia masih dalam peringkat konsep mereka bentuk.

Sehubungan itu, aspek reka bentuk masih ditekankan untuk memenuhi kriteria keperluan dan profil bandar Putrajaya pada masa hadapan.

Bahan-bahan yang bakal digunakan masih di peringkat kajian untuk memastikan kesesuaian tersebut. Secara keseluruhannya, kenderaan itu masih belum dihasilkan tetapi hanya model mini telah disiapkan.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 20, 2010

Kereta Daripada Buluh

(Post: Bahasa Melayu)
" Kereta daripada buluh? Pasti sesiapa sahaja akan pelik apabila ada yang memberitahu sumber alam semula jadi itu mampu dijadikan bahan penting dalam industri automotif negara pada masa depan. "

Jika sebelum ini, kegunaan buluh terhad kepada beberapa fungsi seperti bahan perabot, kraf tangan atau rumah, sudah tentu kebolehannya menjadi bahan penting dalam industri automotif tidak dapat digambarkan.

Kereta buluh bukanlah bermaksud sebuah kereta yang dihasilkan menggunakan buluh sepenuhnya. Sebaliknya tanpa kita sedari banyak bahagian penting pada kereta terpaksa diimport dari luar negara, sedangkan Malaysia mampu tampil dengan kepakaran sendiri melalui sumber-sumber yang boleh diinovasikan termasuklah buluh.

Presiden Pertubuhan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI), Datuk Ghazi Sheikh Ramli berkata, buluh ialah tumbuhan rumput yang paling cepat membesar iaitu mengambil masa antara tiga hingga lima tahun sahaja.

"Kajian selama satu setengah tahun mendapati kekuatan buluh adalah lebih besar berbanding kayu dan sekiranya melalui proses pengawetan yang tepat, ia mampu menjadi lebih kuat berbanding besi."

"Secara semula jadi ia juga adalah sumber antibakteria, antikulat, hipoelergenik dan lebih bersih berbanding fabrik konvensional. Ia juga melepaskan lebih banyak oksigen berbanding pokok tetapi memerlukan kurang air dan penyelenggaraan," katanya.

Justeru, Ghazi berhasrat mempromosikan kegunaan buluh secara optimum dalam penghasilan kereta, sejajar usaha kerajaan bagi membangunkan teknologi hijau dan juga bersempena tahun kreatif dan inovasi 2010.

"Saya mahu mengajak universiti-universiti tempatan dan para penyelidik untuk menjalankan penyelidikan bagi mengumpulkan sebanyak mungkin pengetahuan dan penemuan melalui buluh dan daripada penyelidikan itu satu hasil terbaik akan diperoleh."

"Daripada hasil-hasil terbaik itu kita dapat gabungkan dan membina prototaip yang dapat dibangun dan dikomersialkan, seterusnya menjadi satu produk yang dapat dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa."

"Kami sudah mempunyai prototaip kereta yang diberi nama Bambu. Ia jentera yang menggunakan lima jenis buluh untuk menghasilkan beberapa bahagian dalam kereta seperti badan kereta, tayar, fabrik tempat duduk, stereng dan sebagainya," ujar beliau.

Menurut Ghazi, kelima-lima jenis buluh yang digunakan ialah buluh gading, buluh duri, buluh betung, buluh semantan dan buluh nipis. Kesemuanya ialah spesies buluh tempatan.

"Buluh-buluh ini menjalani proses pengawetan tertentu untuk dijadikan bahagian-bahagian dalaman dan luaran kereta iaitu badan kereta, skirt, spoiler, hub roda, papan muka, panel pintu, tikar lantai, stereng dan tombol gear."

"Proses menyiapkan prototaip ini dijalankan di SIRIM menggunakan kepakaran lapan jurutera dan penyelidik daripada SIRIM serta menggunakan kos sebanyak RM50,000 termasuk nilai kereta asal," katanya mengenai prototaip yang menggunakan 10 peratus bahan buluh itu.

Menurutnya, pengawetan untuk tujuan membuat prototaip ini mengambil masa selama hampir tiga bulan iaitu dengan melalui proses kimia menggunakan asid borik dan bahan-bahan lain tertentu.

"Ia juga memerlukan masa untuk proses pengeringan melalui cahaya matahari sebelum boleh digunakan untuk menyiapkan prototaip ini," katanya.

Tambahnya, setakat ini prototaip yang dihasilkan adalah sebagai contoh dan inspirasi kepada peserta yang mengambil bahagian dan kita akan melihat apakah hasil terbaik yang diperoleh daripada pertandingan ini untuk digabungkan bagi tujuan penambahbaikan prototaip sedia ada.

Mahu mengangkat lagi idea kereta buluh dengan menaikkan lagi peratusan penggunaan buluh ke atas kereta Bambu, baru-baru ini MACRI melancarkan pertandingan Kereta Super Hibrid Buluh Impian Malaysia bersempena minggu kreativiti dan Inovasi 2010 bagi mencabar para penyelidik, universiti-universiti tempatan mahupun individu berkaitan bagi menghasilkan kereta menggunakan buluh.

"Ia bagi memberi idea dan petunjuk kepada peserta pertandingan bagi menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan. Kami mahu melihat berapa peratus buluh dan jenisnya dapat digunakan bagi menghasilkan sebuah kereta," jelas Ghazi.

Selain itu katanya, bukan sahaja aspek penggunaan buluh diambil kira, tetapi bagaimana ia ditransformasi menjadi produk yang mempunyai kualiti dari segi reka bentuk luaran, dalaman dan penggunaan tenaga.

"Reka bentuk luaran adalah perhatian pertama sesiapa sahaja, kemudian barulah reka bentuk dalamannya dan seterusnya fungsinya sebagai sebuah kereta yang mesra kepada alam sekitar," katanya.

Katanya lagi, beliau melihat masa depan industri automotif negara berubah sepenuhnya apabila buluh diadaptasi menjadi satu bahan penting daripada idea orang Malaysia yang mampu dibangunkan ke peringkat antarabangsa.

"Di Amerika seorang lelaki berjaya menghasilkan sebuah kereta menggunakan 90 peratus kayu, jadi tidak mustahil rakyat negara ini mampu menghasilkan kereta menggunakan buluh yang ternyata lebih kuat berbanding kayu."

"Saya juga mahu menarik perhatian pembuat kereta untuk menyokong usaha ini sekali gus mengambil hasil daripada pertandingan ini untuk dimasukkan ke dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka," katanya.

Menurut Ghazi, usaha membangunkan buluh sebagai sumber inovasi pernah dilakukan sejak 20 tahun lalu tetapi kurang mendapat sokongan banyak pihak.

"Ikutkan sejarah, gelombang pertama pembangunan industri berasaskan buluh telah bermula pada tahun 1980-an tetapi tidak berpanjangan. Begitu juga pada gelombang kedua pada tahun 1990-an."

"Tahun 2010 adalah masa yang tepat kerana bukan sahaja kerajaan menggalakkan pembangunan teknologi hijau, tetapi perkembangan teknologi ini turut mendapat sokongan industri dan masyarakat yang mula sedar akan kepentingan memelihara alam sekitar," katanya.

Tambah Ghazi, penyerapan teknologi hijau berasaskan buluh ke atas pembangunan industri automotif hanyalah permulaan kerana masa depannya dilihat lebih jauh dari itu.

"Kita bermula dengan kereta kerana semua orang tahu dan kenal kereta. Jika dilihat secara lebih meluas, ia mampu menyumbang kepada lebih banyak industri termasuk pakaian, makanan, hiasan dalaman, pembinaan, hiburan dan perubatan."

"Selain itu, ia juga mampu membangunkan ekonomi rakyat yang pada asalnya kurang menyedari kepentingan buluh dalam menjana pendapatan mereka. Justeru, rakyat mesti bantu dan memberikan sokongan," katanya.

Tegas beliau, tidak mustahil dengan menghasilkan kereta menggunakan buluh sebagai salah satu bahan utama, harga kereta tempatan mampu dikurangkan kerana menggunakan sumber-sumber yang didapati sendiri.

"MACRI hanyalah pemangkin dan jambatan kepada usaha penyelidik untuk membawa masa depan buluh sebagai produk yang mampu diinovasikan dan menembusi pasaran."

"Dengan usaha kerajaan memberi sokongan dan fokus kepada pembangunan industri berasaskan buluh, tidak mustahil impian ini akan dicapai," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::