ATTENTION !!!

Thursday, October 28, 2010

Video Perkahwinan Motion Peektures

(Post: Bahasa Melayu)
" Tugas merakam video pasangan pengantin baru bukanlah semudah yang disangka. Silap percaturan, video yang dirakam mungkin akan menjadi 'kenangan pahit' bagi pasangan raja sehari tersebut. "

Justeru tanggungjawab yang dipikul oleh Pengarah Kreatif Motion Peektures, Nor Azmin Md. Nor, ibarat satu amanah besar.

Motion Peektures adalah satu jenama di bawah Pretty Peektures yang menyediakan video perkahwinan untuk pasangan pengantin baru.

Perkahwinan hanya sekali seumur hidup dan kenangan itulah yang akan disimpan sebaiknya dalam video untuk tatapan generasi seterusnya.

Bagi Nor Azmin, 30, setiap amanah yang dipikul sebagai pengarah kreatif video perkahwinan dijalankan dengan sebaik mungkin.

Apabila dipilih untuk memikul tanggungjawab tersebut oleh para pengantin, Nor Azmin tahu beliau perlu bertungkus lumus mencari idea baru dan menarik untuk disuntik pada hasil kerjanya.

Justeru pemilik Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Reka Bentuk Perindustrian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, mengaplikasikan ilmu yang ada dalam menghasilkan videografi yang kreatif.

"Sudut-sudut kreatif menjadi pilihan Motion Peektures dan setiap video kami mempunyai jalan cerita yang tersendiri."

"Kami kerap membayangkan footage (sedutan) kami menggambarkan apa yang dilihat oleh pengantin semasa hari bersejarah mereka dan apa yang mahu dilihat oleh pengantin," jelas Nor Azmin dalam rangkaian temu bual bagi penaja Peraduan Gerbang Cinta anjuran Mega, Utusan Malaysia.

Ketika mengambil keputusan untuk memilih kerjaya yang berisiko itu, beliau sedar tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi.

Bagi Azmin cabaran utama selaku juruvideo majlis perkahwinan ialah merakamkan hari bersejarah tersebut selengkap dan semenarik mungkin.

"Majlis perkahwinan hanya sekali seumur hidup. Kami cuba untuk merakamkan sebanyak mungkin detik-detik tak ternilai ini."

"Cabaran juga hadir apabila kami mengendalikan liputan secara MCP atau Multi Camera Production, di mana rakaman sesebuah majlis dipancarkan secara langsung terus ke kaca televisyen atau skrin projektor di sekeliling dewan majlis tersebut diadakan."

"Ia memerlukan pengetahuan teknikal dan kreativiti yang tinggi. Kedua-dua elemen ini digabungkan pada masa yang sama untuk menghasilkan kerjaya yang terbaik. Krew terlibat dalam majlis-majlis seperti ini juga ramai," katanya yang menggunakan kamera foto DSLR dalam proses merakamkan video detik-detik bersejarah.

Bagi Nor Azmin, penggunaan DSLR yang lebih kompak memungkinkan sudut-sudut yang sukar bukan lagi mustahil.

Ini meningkatkan lagi keberkesanan jalan cerita yang cuba disampaikan berbanding kamera video 3CCD konvensional yang lebih besar dan berat.

"Kebiasaannya sebelum pengantin menempah perkhidmatan Motion Peektures, kami akan berbincang dengan pelanggan tentang jalan cerita video tersebut supaya kelihatan menarik dan tidak membosankan."

"Pengantin juga perlu tahu penyuntingan video memerlukan masa lebih panjang berbanding penyuntingan foto. Maka kos dan tempoh masa juga tidak sama dengan foto."

"Video juga lebih sukar untuk disunting sekiranya ada pembetulan perlu dilakukan kemudian," katanya.

Dengan pengalaman yang dimiliki, Nor Azmin menyarankan kepada bakal pengantin supaya melawat penyedia video perkahwinan pilihan mereka dan melihat sendiri video perkahwinan yang terdahulu.

"Nasihat saya jangan tempah sebelum lihat hasil akhir. Pastikan juga penyedia video tersebut berpengalaman dan mempunyai reputasi yang baik."

"Dan apabila majlis selesai, pengantin juga perlu tahu bahawa kerja-kerja penyiapan biasanya selesai antara dua minggu hingga empat minggu selepas majlis. Jadi tidak akan timbul salah faham antara jurufoto dengan pengantin tentang kelewatan penyediaan gambar perkahwinan mereka," ujarnya yang pernah merakam detik perkahwinan beberapa selebriti tanah air seperti Adlin Aman Ramli dan Emelda Rosmila, Serina Redzuawan dan sebagainya.

Justeru beruntung para pemenang Peraduan Gerbang Cinta kerana video perkahwinan mereka dapat dirakam standard artis.

"Teruja dan tidak sabar untuk menawarkan khidmat kami kepada pemenang utama di samping dapat bekerjasama dengan penaja-penaja lain yang berprestij," katanya.

Pakej video Motion Peektures bermula RM1,450 dan mereka boleh dihubungi melalui talian 013-6701890.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Motion Peektures

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::