Berdikari Menjana Pendapatan
(Post: Bahasa Melayu)
" Selepas bekerja lebih kurang 10 tahun, akhirnya Alisa memikirkan sudah sampai masanya beliau menceburi bidang pekerjaan lain. Dengan pengalaman dan kenalan yang Alisa peroleh sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini, beliau ingin menceburi bidang kewartawanan sebagai wartawan bebas. "
Mari kita lihat pada beberapa pengaturan kewangan yang perlu disediakan sebelum kita mengambil keputusan untuk bekerja secara persendirian.
Sewaktu menjamu hidangan teh pada suatu petang, Alisa bertanya ayahnya sama ada ayahnya pernah terfikir bekerja secara persendirian semasa kerjayanya. Adam terkejut dengan pertanyaan itu tetapi menjawab beliau pernah memikirkannya, malah lebih daripada sekali.
Tetapi atas sebab beliau memperoleh pendapatan yang baik dan agak selesa dengan kerjanya, Adam mengetepikan hasrat itu.
Sebenarnya, Adam berasa takut untuk bekerja bersendirian kerana beliau baru saja mendirikan rumah tangga dan mempunyai banyak komitmen seperti pinjaman rumah dan kereta yang perlu dijelaskan.
Lagipun, Adam menjelaskan bahawa ibunya sedang mengandung Alisa pada ketika itu dan beliau berfikir agak berisiko berbuat demikian pada masa itu. Jadi, Adam mengambil sikap berhati-hati dan terus bekerja hinggalah dia bersara.
Alisa tidak sabar bertanya ayahnya sama ada beliau terasa kesal dengan keputusannya, lalu ayahnya menjawab tidak. Adam amat menyukai kerjanya kerana beliau dibayar untuk melakukan apa yang digemari. - yakni mengurus kewangan!
Bagaimanapun, Adam memberitahu Alisa bahawa jika beliau bercadang untuk berbuat demikian, Alisa perlu tahu mengenai '4P' untuk menjadi seorang usahawan, sesuatu yang Adam dengar daripada rakan baiknya, seorang usahawan.
Keghairahan
Adam menasihati anaknya bahawa jalan ke arah kejayaan lebih mudah jika Alisa ghairah dalam apa yang dilakukannya.
Pendek kata, setiap pagi anda beria-ria pergi ke kerja dan betul-betul menikmati apa yang anda lakukan dan anda seolah-olah lebih bertenaga semasa menghadapi cabaran.
Adam dapati bahawa kebanyakan usahawan yang berjaya sangat ghairah dalam apa yang mereka lakukan. Malah apa yang mereka lakukan membayangkan diri mereka yang sebenarnya!
Mengikut petikan Richard Carlson: "Perkara-perkara yang lazimnya dianggap mustahak adalah penting, tetapi soalnya di sini adalah tahap kepentingannya. Kejayaan, kesempurnaan, pencapaian, wang, pengiktirafan - anda dapat memiliki kesemuanya tetapi ia bukanlah segala-galanya. Malah, tanpa adanya rasa ghairah dan perasaan menghargai kehidupan, ia tidaklah mendatangkan makna yang seberapa."
Pengorbanan
Setakat manakah anda sanggup berkorban untuk menjadi usahawan yang berjaya? Adam dapati ramai orang muda cuma ingin menjadi bos mereka sendiri tetapi tidak sanggup bekerja keras dan membuat pengorbanan.
Sebenarnya, anda mungkin perlu bekerja lebih keras lagi dalam tahun-tahun yang awal dan tanggapan bahawa anda akan mempunyai lebih banyak masa buat diri anda atau keluarga anda adalah salah.
Pengorbanan perlu dibuat untuk segala-galanya dan untuk menjadi usahawan yang berjaya, juga memerlukan banyak pengorbanan.
Rancang
Dalam apa jua yang anda lakukan, anda harus 'rancang kerja anda, dan laksanakan rancangan anda'. Malah, ini lebih penting lagi apabila membabitkan rancangan dan strategi perniagaan yang disusun dengan baik.
Anda harus ketahui bagaimana anda akan menghasilkan wang dan dapat meramalkan perbelanjaan perniagaan dan keperluan modal anda.
Anda juga perlu menyelesaikan segala kemusykilan apabila anda dijangka untuk mendapat semula harga pulangan modal dan mempunyai pelan kontingensi, jika berlakunya perkara yang di luar dugaan.
Kita biasanya dengar mengenai klise, 'orang tidak merancang untuk gagal, mereka cuma gagal untuk merancang!'.
Jumlah pokok atau modal
Akhir sekali, sumber-sumber kewangan anda adalah penting. Sebahagian besar perniagaan memerlukan komitmen modal yang besar dan anda mesti memastikan bahawa anda mempunyai dana tambahan yang secukupnya.
Pertama sekali, pastikan anda mempunyai sumber-sumber kewangan yang mencukupi untuk memenuhi perbelanjaan tetap anda selama antara enam hingga 12 bulan.
Kemudian, anda perlu menganggarkan perbelanjaan modal awalan yang diperlukan untuk membuka kedai anda dan untuk menjalankan perniagaan.
Seterusnya, aliran tunai perniagaan anda, sekurang-kurangnya harus mampu menanggung semua kos menjalankan perniagaan seperti sewa, gaji, utiliti dan yang paling penting, boleh membayar si piutang tepat pada masanya.
Ada beberapa cara untuk memperoleh dana - minta sedekah, buat pinjaman atau menggunakan tabungan anda! Sudah pasti bergantung pada diri sendiri mungkinlah pilihan terbaik tetapi bukan semua orang yang berkemampuan.
Biasanya orang meminjam daripada keluarga dan rakan mereka atau institusi kewangan. Selidiklah terlebih dulu untuk memperoleh terma-terma kewangan yang terbaik dan ada sebilangan insentif atau pinjaman mudah yang ditawarkan oleh kerajaan bagi jenis-jenis perniagaan tertentu.
Memang ada manfaatnya sekiranya anda ada kawan yang bekerja sebagai akauntan ataupun pegawai bank!
Kata-kata Hikmah
ALISA berfikir mengenai '4P' yang ditekankan oleh ayahnya dan sudah pasti beliau mempunyai keghairahan dan sanggup berkorban untuk mencapai sasarannya.
Bagaimanapun, Alisa masih perlu berfikir mengenai rancangan perniagaannya dan menghitung semua perkara yang berhubung kait dengan kewangan bersama ayahnya.
Dan bagi 'P' yang keempat, ada kemungkinan besar Alisa akan memohon pinjaman daripada ayahnya, kalau bukan ayahnya dari siapa lagi!
Dalam apa jua keadaan, usahanya memerlukan sedikit modal dan dia beranggapan jika Alisa mampu mengekalkan kos overhed yang rendah, beliau dapat mengusahakannya.
Inilah masanya!
Bagaimana dengan anda? Adakah terlintas di fikiran anda untuk menjadi bos sendiri sejak kebelakangan ini? Ini tentunya saranan yang menarik tetapi seperti kebanyakan perkara di dalam hidup kita, ada pengorbanan yang perlu dilakukan.
Fikirlah mengenai '4P' yang disebutkan di atas sebelum anda mengemukakan surat peletakan jawatan anda dan apabila anda sudah membuat keputusan, teruskan dengan semangat membara untuk mencapai kejayaan, bos!
Nasihat Ayah:
• Penuh bersemangat dalam segala yang anda lakukan.
• Sanggup berkorban untuk kecapi kejayaan.
• Rancang kerja anda dan perinci rancangan anda.
• Pastikan anda mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk menyara kehidupan anda pada tahun-tahun permulaan.
Sumber: Berita Harian Online
Foto: WiseStartupBlog
1 comments:
wah posting yang menarik untuk di ikuti
kembali salam dari tetangga sebelah /Indonesia.syukron
Post a Comment