ATTENTION !!!

Monday, June 28, 2010

Wonderland Primary

(Post: Bahasa Melayu)
" Tertekan dengan bebanan kerja dan kerenah majikan yang langsung tidak menghargai bakti yang dicurahkan membuatkan tiga sekawan ini tekad meletakkan jawatan masing-masing walaupun tanpa ada kerjaya lain sebagai ganti. "

Melihatkan cahaya muka Leny Herlina Agus Syarif, 34, Jaszmyn Leong, 31 dan Joey Lim, 36, tiada langsung kekesalan terpancar daripada raut wajah masing-masing ekoran keputusan itu.

"Walaupun sudah berhenti kerja, kami tetap 'keluar bekerja' dengan lengkap berpakaian untuk ke pejabat walaupun sebenarnya ketika itu pejabat kami hanya kedai mamak."

"Di 'pejabat baru' itulah kami berbincang mengenai hala tuju karier dan masa depan kami bertiga," kata Leny Herlina yang kini menjawat jawatan sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan Wonderland Primary Sdn. Bhd. Syarikat itu ditubuhkan pada Oktober 2009.

Apa yang mengejutkan, tiada seorang pun daripada ahli keluarga mereka mengetahui bahawa penganggur tiga sekawan tersebut ketika itu sudah berhenti kerja.

Namun tempoh pengangguran lebih kurang dua bulan itu tidak dipersia-siakan kerana jangka masa tersebut diisi sebaiknya apabila ketiga-tiga wanita yang boleh dikatakan 'sekepala' itu berkongsi misi bersama untuk menubuhkan syarikat sendiri.

"Berbekalkan pengalaman masing-masing yang sudah lama dalam bidang peruncitan, kami sepakat mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat berasaskan perniagaan peruncitan."

"Kenapa kami memilih bidang ini? Sebabnya jarang anak-anak muda mahu melibatkan diri dalam bidang peruncitan barangan buatan Malaysia," kata Leny Harlina yang sebelum ini pernah menjadi kerani, penyambut tetamu dan setiausaha sebelum mendapat tawaran bekerja di syarikat peruncitan.

Di dalam hati penulis terdetik persoalan demi persoalan. Teruk sangatkah bebanan kerja mereka sebelum ini sehingga melakukan keputusan 'berani' yang mungkin menjerut leher sendiri memandangkan pada masa sekarang ramai yang diberhentikan kerja ekoran keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan apatah lagi mahu mencari peluang pekerjaan baru.

"Setelah betul-betul pasti dengan keinginan bersama itu, kami enggan membuang masa dan mula membuat kertas cadangan mengenai perniagaan yang bakal kami ceburi."

"Apabila segalanya selesai, timbul pula masalah modal yang tidak mencukupi untuk merealisasikan impian kami. Pada masa itulah kami berjumpa dengan Pengarah Urusan Ixora Corporation Sdn. Bhd., Jordan Ling yang merupakan kenalan perniagaan sebelum ini," celah Jaszmyn.

Tambahnya, selepas menunjukkan kertas cadangan tersebut kepada Jordan, dia berminat untuk membantu dari segi modal. Namun ketiga-tiga mereka masih buntu tentang produk apa yang mahu ditawarkan di pasaran sebelum timbul idea mengenai rangkaian produk penjagaan kanak-kanak.

Idea tersebut timbul apabila ketiga-tiga Charlie's Angels Wonderland Primary itu membuat analisis mereka sendiri melalui hasil pemerhatian di pasaran dan mendapati produk sedemikian mendapat sambutan kerana walau apa pun terjadi orang tetap akan mandi.

Ditambah pula dengan tiadanya produk penjagaan bayi dan kanak-kanak tempatan kerana terlalu banyak produk luar mendominasi pasaran.

Bermula saat itulah, Jordan yang menjadi 'sifu' kepada tiga wanita yang baru belajar bertatih dalam perniagaan tanpa lokek berkongsi ilmu perniagaan dan kadangkala menegur jika berlaku percaturan salah dalam membuat keputusan.

Populariti Upin Ipin

Bagi syarikat yang baru memulakan langkah, agak sukar untuk memperkenalkan produk baru dengan jenama yang jarang didengar pengguna sehinggalah timbul idea untuk memberikan nama produk berdasarkan karakter kartun tempatan terkenal Malaysia iaitu Upin Ipin.

"Kami berbincang dengan Les' Copaque Productions Sdn. Bhd. untuk mendapatkan hak kebenaran menggunakan watak kartun dalam semua produk keluaran selama 30 bulan."

"Sejak itu, kami bertiga bertungkus lumus memastikan apa yang dirancang di atas kertas menjadi kenyataan sehingga berjaya menghasilkan produk yang kini mula berada di pasaran," ujarnya yang merupakan Pengurus Komunikasi Pemasaran Wonderland Primary.

Kebanyakan produk di pasaran memerlukan kepakaran luar untuk membuat pemasaran, reka bentuk, promosi, jualan dan sebagainya, namun ketiga-tiga wanita gigih itu tidak mahu meletakkan masa depan perniagaan mereka di tangan orang luar sehingga mereka sanggup merealisasikannya dari A hingga Z.

Joey, individu yang menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Jualan dan Perkhidmatan, dan berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang peruncitan memberitahu dia sangat teruja dengan hasil produk yang dilahirkan hasil cetusan idea bersama.

"Ia bakal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat kartun tersebut yang bukan sahaja digemari oleh kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa."

"Memandangkan tempoh hak kebenaran yang diberikan kepada kami hanya 30 bulan, kini kami giat merancang jenama produk keluaran syarikat andai kata hak kebenaran tidak dilanjutkan," katanya yang agak pendiam.

Apa yang menjadi rahsia tiga sekawan ini sehingga berjaya adalah sentiasa berbincang mengenai idea baru, disiplin, dedikasi terhadap kerja, tiada hasad dengki walaupun adakalanya berselisih pendapat.

Malah, yang penting, semua merupakan ketua serta saling menghormati.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::