ATTENTION !!!

Tuesday, February 16, 2010

Lakaran Lukisan Raja Azeem

(Post: Bahasa Melayu)
" Membelek buku-buku lukisan milik Raja Azeem Idzham Raja Azaham, 26, mata terpaku melihat ketelitian setiap garisan-garisan halus disatukan menjadi karya yang mengagumkan. "

Walaupun banyak yang kurang difahami maksud atau bentuknya, namun penulis tetap terpegun dengan hasilnya. Hanya mereka yang mempunyai bakat, imaginasi dan ketekunan sahaja mampu menzahirkannya.

Mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni bina dengan memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azeem tidak pernah terfikir dia akan menjadikan lukisan sebagai kariernya.

Selepas tamat pengajian, dia menyertai sebuah syarikat seni bina dengan harapan untuk meneruskan kerjaya profesionalnya dalam bidang tersebut.

Namun, jiwanya adalah dalam bidang seni. Menyedari masanya terhad untuk berkarya kerana bekerja sepenuh masa, Azeem mengambil keputusan drastik melepaskan jawatan di firma tersebut sejak setahun lalu.

"Ramai yang kata saya gila. Tetapi inilah keputusan saya demi meneruskan minat yang bermula hanya sekadar hobi."

"Memang jika dibandingkan dari segi pendapatan, bekerja dalam bidang seni bina menjanjikan pendapatan tetap dan agak setiap bulan. Tetapi saya tidak mahu menyesal di kemudian hari kerana tidak boleh melakukan apa yang saya suka," katanya.

Menceritakan bagaimana obsesinya terhadap lukisan berunsurkan lakaran di atas kertas kartun, fantasi dan abstrak bermula, Azeem memberitahu sejak zaman sekolah lagi dia telah menunjukkan bakat melukis. Begitu juga dengan lima adik beradiknya yang lain.

Ibu dan bapanya turut mempunyai latar belakang dalam bidang seni. Malah, kedua-duanya mahir melukis. Namun mereka tidak mempraktikkannya sebagai satu kerjaya. Cuma selepas pencen, bapanya aktif melukis dan mampu menyiapkan sehingga 60 lukisan setahun.

Azeem melukis mengikut gerak hati dan tangannya. Kadang-kadang dia tidak merancang apa yang ingin dilakarkan, hanya mengikut gerak pensel sehinggalah siap. Kebanyakan lukisan yang dilakar dalam buku lakarannya bukan untuk dijual.

Begitupun, dia ada menerima tempahan daripada orang ramai. Selain daripada lakaran atas kertas, dia juga mengambil tempahan lukisan atas kanvas.

"Ada beberapa lukisan saya dijadikan corak pada baju dan saya mendapat komisen berdasarkan jumlah baju yang dicetak."

"Saya juga membuat animasi dan apa sahaja yang memerlukan kemahiran melukis. Kini saya mendapat bayaran dengan apa yang sebelum ini saya sifatkan sebagai hobi. Saya bebas menyusun kerja dan masa," katanya.

Lakaran atas kertas yang dihasilkan oleh Azeem dijual pada harga RM50 hingga RM200, manakala lukisan pada kanvas bergantung kepada saiz gambar dan kesukarannya.

Bagi Azeem, melukis bukan sahaja memerlukan bakat tetapi kesabaran dan ketekunan. Ini kerana untuk menyiapkan sesebuah lukisan yang rumit, ia boleh memakan masa sehingga berminggu-minggu.

Seseorang itu juga harus kreatif dalam memilih tema dan cara mereka menyampaikan idea tersebut di atas kertas mahupun kanvas.

Ditanya mengenai perancangan Azeem pada masa hadapan, dia berhasrat untuk membuka sebuah galeri bersama ahli keluarganya.

Kepada mereka yang berminat untuk melihat atau mendapatkan lukisan-lukisan Azeem, layari www.facebook.com/juxtaART atau email kepada juxta_art@yahoo.com

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::