ATTENTION !!!

Sunday, January 17, 2010

Chapter One Image Consultant

(Post: Bahasa Melayu)
"Perunding imej profesional, Wendy Lee, 36, merupakan pengasas kepada syarikat perundingan imej, Chapter One Asia Sdn. Bhd. di Petaling Jaya. Wendy merupakan antara segelintir perunding imej di negara ini yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan mempunyai ratusan pelanggan termasuklah UMW, CIMB, Maybank, RHB, Le Meridien Hotel dan Pan Pacific KLIA."

Apakah yang dimaksudkan dengan perunding imej?

Kebanyakan orang fikir imej itu mengenai pembentukan rupa dan penampilan, sedangkan imej itu terdiri daripada tiga teras utama iaitu 3A, appearance (penampilan), attitude (sikap) dan action (tindakan).

Justeru, sebagai perunding imej, kami bukan sahaja merunding pelanggan tentang bagaimana untuk memiliki penampilan berpakaian yang baik, gaya rambut dan seumpamanya, bahkan kami juga membentuk sikap yang baik dan tindakan yang baik seperti etika, protokol, cara bertutur, cara menghadapi situasi dan sebagainya.

Adakah perunding imej mempunyai kategori?

Ya, sebenarnya terdapat dua pembahagian. Pertama, perunding imej korporat yang mempunyai syarikatnya sendiri dan mengendalikan pelbagai bengkel latihan untuk pekerja sesebuah firma atau syarikat. Mereka juga memberikan khidmat kepada orang perseorangan.

Perunding imej kedua adalah mereka yang bergerak secara sendirian. Ada juga di antaranya merupakan jurusolek, jurudandan, mak andam dan sebagainya yang turut memberi rundingan terhadap imej keseluruhannya.

Bagaimana yang dikatakan perunding imej profesional?

Seorang perunding imej profesional perlu diiktiraf oleh Association of Image Consultant International (AICI) dan memiliki sijil daripada pihak berkenaan.

Untuk melayakkannya juga, perunding imej perlu mempunyai pendedahan di media selama tiga tahun. Oleh sebab itulah, untuk mendapatkan seorang perunding imej yang lebih muda adalah sukar.

Bagaimana untuk memiliki sijil berkenaan? Apakah terdapat kursus perunding imej di negara ini?

Setahu saya, tiada satu pun institusi pengajian tinggi di negara ini yang menawarkan kursus untuk perunding imej AICI. Jadi, mereka yang ingin mengambilnya perlu ke luar negara. Misalnya, saya mengambil kursus itu di Singapura.

Pada tahun ini, syarikat saya, Chapter One Asia bercadang mahu membawa kursus tersebut ke negara kita. Mereka yang berminat, bolehlah menghubungi talian 03-79586318.

Bila anda mula berkecimpung dalam kerjaya perunding imej?

Sejak enam tahun lalu iaitu pada 2003. Bagaimanapun, pada masa itu, boleh dikatakan bilangannya terlalu kecil di negara ini, iaitu lima atau enam orang. Sekarang pun, bilangannya boleh dikatakan masih kecil.

Cabaran sebagai perunding imej?

Kita kena jaga penampilan kerana ia akan mempengaruhi pelanggan kita. Kalau kita berpakaian tidak sesuai dan menjelikkan, bagaimana orang hendak yakin apa yang kita katakan.

Apa yang membuatkan anda meneruskan kerjaya ini?

Kepuasan yang saya peroleh daripadanya. Bayangkan, apa perasaan anda jika orang kata, 'terima kasih yang tidak terhingga kepada Wendy, kerana anda telah mengubah hidup saya'.

Keseronokan menjadi perunding imej?

Sekali imbas, apabila kita pandang seseorang, kita akan tahu individu tersebut bagaimana dan apa kerjayanya.

Kita boleh tahu, kalau seseorang itu suka pakai pakaian berwarna pudar dan malap, itu tandanya kerjaya mereka mungkin yang tidak banyak melibatkan berjumpa dengan orang ramai.

Apakah soalan-soalan yang akan ditanya apabila rundingan peribadi berlangsung?

Saya akan bertanyakan apa masalah mereka, apa pendapat mereka tentang pandangan orang ramai terhadap mereka dan pandangan bagaimana yang mereka hendak orang berikan kepada mereka.

Selepas itu, kami akan menganalisis rupa mereka dan masalah mereka. Kemudian, kami akan mengeluarkan sebuah fail peribadi panduan tentang gaya, padanan warna yang sesuai khusus untuk mereka dan seumpamanya.

Apa yang penting tentang imej?

Imej adalah sesuatu yang anda 'jual' kepada orang dan imej anda adalah pandangan pertama orang terhadap anda. Maka, tentunya ia amat penting.

Tahukah anda, satu kajian telah diadakan di Amerika Syarikat (AS) dengan mengekori kehidupan 700 orang graduan.

Selepas 10 tahun, keputusan menunjukkan graduan yang mempunyai penampilan imej yang lebih baik memperoleh gaji yang lebih tinggi dan lebih banyak mendapat promosi untuk kenaikan pangkat. Dengan itu, jelaslah betapa imej dapat mempengaruhi kehidupan.

Apakah tip asas tentang berpakaian atau tip warna yang boleh dijadikan panduan?

Mereka yang berkulit gelap, jangan pakai warna yang terlalu gelap dan terlalu terang. Warna yang paling perlu dielak adalah warna kelabu. Mereka yang berkulit cerah, secara umumnya, sesuai pakai apa sahaja warna.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::