ATTENTION !!!

Saturday, June 27, 2009

Lasak Bersama Butik Core Zone

(Post: Bahasa Melayu)
"Namakan apa sahaja daripada pakaian, kasut, botol air, sarung tangan, kompas hinggalah baju dalam khas untuk wanita, semuanya ada di Core Zone."

Dia bukanlah seorang atlet sukan terkemuka negara atau individu yang berbadan sasa yang sinonim dengan aktiviti lasak.

Namun, semangatnya mempopularkan sukan mendaki dan ekstrem di negara ini yang biasanya dimonopoli kaum lelaki wajar dikagumi.

Wanita bertubuh kecil berambut ala spiky, Leong Dee Lu merupakan pengusaha butik Core Zone iaitu sebuah pusat menjual peralatan pendakian dan aktiviti rekreasi.

Beliau yang juga Pengarah Urusan, Climbing & Outdoor Recreation Equipment Sdn. Bhd., syarikat yang mengendalikan Core Zone bagaimanapun tidak melihat jantina sebagai satu masalah untuk beliau menggerakkan Core Zone.

Stailo yang berkunjung ke butik itu yang terletak di Jalan SS2/24, Petaling Jaya, Selangor didedahkan sendiri dengan himpunan pakaian dan seleksi peralatan keperluan bagi pencinta kegiatan rekreasi lasak.

Dee Lu memberitahu kesibukan pelbagai urusan pejabat dan rumah selalunya melambatkan seseorang membuat persediaan awal untuk aktiviti rekreasi. Akhirnya ramai yang hanya mula mencari barang persiapan dua atau tiga hari sebelum memulakan aktiviti.

Namun, di Core Zone situasi itu bukanlah satu masalah kerana semua barang boleh dicari pada harga yang berpatutan di bawah satu bumbung.

Malah, lebih penting peralatan yang disediakan adalah berkualiti sesuai dengan aktiviti yang ingin dilakukan.

"Aktiviti lasak bukan seperti percutian biasa. Destinasi yang bakal dikunjungi adalah kawasan gunung, lautan, kutub dan hutan belantara. Jadi peralatan yang perlu dibawa haruslah selamat dan berfungsi dengan baik," ujar wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu.

"Kebanyakan koleksi pakaian Core Zone dihasilkan daripada fabrik berteknologi tinggi itu. Misalnya, material Gore-Tex memberi perlindungan kalis air dan keselesaan fabrik yang mengelakkan kelembapan pada badan.

"Material Polartec yang kelihatan seperti bulu bebiri bersifat ringan dan tidak mengambil ruang yang banyak. Ia memastikan pakaian bertahan lama, mudah kering dan memberi perlindungan terhadap cuaca yang panas terik," jelas Dee Lu sambil memberitahu pakaian daripada fabrik itu sesuai untuk aktiviti merentas desa dan hutan.

Syarikat itu turut berperanan sebagai pengedar di pasaran tempatan untuk pelbagai jenama antarabangsa dari Itali, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) bagi koleksi pakaian dan aksesori tambahan aktiviti lasak itu.

Antaranya Lafuma, MSR, Buff, Black Diamond, Thermarest, Camelback, Sea to Summit, Wild Roses, Suunto dan La Sportiva.

Walaubagaimanapun, Dee Lu tidak menafikan kos peralatan aktiviti luaran itu memang mahal dan tinggi. Ini kerana, spesifikasi fungsi dan penggunaan teknologi serta material asli untuk memelihara kualiti jenama.

Core Zone juga tidak ketinggalan menawarkan aksesori tambahan terutama beg dan peralatan masakan serta penginapan yang mempengaruhi kesempurnaan percutian aktiviti lasak dan cabaran.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::