Pasar Tani Nelayan Kubang Rotan
(Post: Bahasa Melayu)
" Pasar tani nelayan yang dibuka di Kubang Rotan di sini berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung biarpun hanya baru beroperasi sejak hujung tahun 2010. "
Timbalan Pengarah Pembangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah, Yazid Yusuf berkata, pasar tersebut mula dibuka secara rasmi pada 17 Disember tahun lalu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Sebelum ini, di kawasan ini memang sudah ada pasar nelayan dan peniaga barangan lain seperti sayur-sayuran serta buah-buahan yang membuka gerai kecil di tepi jalan sahaja."
"Jadi untuk menjadikan kawasan ini lebih teratur, FAMA dan LKIM bersetuju untuk membuka sebuah pasar tani nelayan di kawasan ini," katanya.
Menurutnya, pasar tani nelayan itu dibuka setiap Jumaat dengan 33 peserta yang kebanyakannya adalah peniaga asal di kawasan pasar nelayan Kubang Rotan.
"Pasar tani nelayan ini adalah pasar tani ke-17 yang dibuka di negeri Kedah dan pihak kami merancang untuk membuka dua lagi pasar tani baru pada tahun ini."
"Di pasar ini, kita lebih tumpukan kepada penjualan barang-barang keperluan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ikan serta ayam sudah dijual di pasar nelayan yang terletak bersebelahan dengan pasar tani ini," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Tandop, Kubang Rotan, Ismail Bahari berkata, pembukaan pasar tani nelayan itu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.
"Sebelum ini memang sudah ada pasar di sini, namun ia tidak teratur dan sukar untuk pengunjung membeli barangan keperluan di sini."
"Namun selepas ada pasar tani ini, semakin ramai pengunjung datang dan membuka peluang perniagaan kepada penduduk kampung di sini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar kawasan pasar tani nelayan itu diperbesarkan bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment