ATTENTION !!!

Thursday, January 13, 2011

Anyaman dan Ukiran Kraftangan Sarawak

(Post: Bahasa Melayu)
" Kraftangan Sarawak yang dahulunya hasil seni yang dibuat pada masa lapang, kini berubah situasi apabila pembuatannya dilakukan secara serius dan keunikannya mendapat perhatian hingga ke luar negara. "

Bantuan daripada Kraftangan Malaysia dari segi prasarana, peralatan dan kelengkapan bengkel, bimbingan teknikal, rekaan baru dan promosi domestik juga banyak membantu pengusaha kraftangan dalam usaha mengekalkan warisan dan mengembangkan kraf tangan Sarawak ke pasaran yang lebih luas.

Perjalanan penulis ke negeri Sarawak, menemui pengalaman yang ternyata memberi persepsi baru terhadap kraftangan di negeri itu yang dilihat sememangnya unik dan mempunyai potensi besar di pasaran.

Ada antara hasil kraftangan Sarawak dari kalangan 30 etnik kaum itu membawa penghayatan yang baru dan segar untuk menarik minat pengumpul hasil kraftangan.

Seorang pengusaha anyaman pandan, Missiah Dan, 53, membuktikan kerja tangannya mampu menembusi pasaran Qatar, di Timur Tengah.

Ketika ditemui di kampungnya dekat Kampung Rangawan, Sadong Jaya, Samarahan, beliau baru sahaja menyiapkan alas meja untuk pelanggan dari negara itu.

"Saya siapkan alas meja ini sejak tiga bulan yang lepas, dan ia akan dihantar terus ke Qatar melalui pos," katanya.

Usaha Missiah mendapat bantuan prasarana, bimbingan teknikal, rekaan baru serta promosi domestik daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.

Selain alas meja itu, beliau juga menyiapkan 12 keping alas pinggan dan alas meja bersaiz sederhana untuk pelanggan yang sama.

Menurut Missiah, menembusi pasaran luar adalah bonus dan bukti produk warisan negara menarik dan berkualiti.

"Setakat ini, urusan promosi produk yang dibantu pihak Kraftangan Malaysia menerima banyak tempahan dari organisasi dan juga persatuan," katanya.

Anyaman Pandan

Missiah berkata, para pekerjanya diambil dari empat buah kampung di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang membantu membuat anyaman pandan.

"Setakat ini ada enam pekerja tetap di bengkel, tetapi kalau nak diikutkan, ada kira-kira 30 orang yang membantu membuat anyaman di rumah sendiri di bawah program SDSI daerah."

"Dalam masa satu bulan, kami boleh siapkan sehingga 200 unit beg duit, dan juga kira-kira lima anyaman keping yang memerlukan kira-kira 20 kilogram daun pandan," katanya.

Setakat ini mereka mengeluarkan lebih 10 jenis produk termasuk kusyen, beg bimbit, tikar hamparan, alas pinggan dan meja.

Beliau turut mengakui bidang tersebut memerlukan semangat yang lebih daripada bakat.

"Perkara ini penting, terutama dalam memilih pekerja bengkel," katanya.

Usahawan itu menambah, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum proses anyaman yang sebenar bermula.

"Mula-mula, daun pandan yang hendak digunakan harus dipilih daripada yang berusia setahun lebih. Duri-duri akan dibuang bagi mendapatkan saiz yang dikehendaki."

"Kemudian ia perlu direbus selama lima minit sebelum diangkat dan disejukkan dengan merendamkannya semalaman," terang Missiah yang menambah bahawa keesokannya, daun itu perlu dicuci dan dijemur sehingga kering dan bergulung.

Untuk meluruskannya semula, Missiah berkata, ia perlu diembun atau disejukkan semalaman sebelum diluruskan menggunakan buluh atau besi.

Setakat proses itu sahaja, tempoh sehingga tiga hingga empat hari dihabiskan namun itu belum lagi mengambil kira proses pencelupan bagi tujuan mewarna dan menganyam.

Sementara proses pencelupan mengambil masa sehingga tiga hari, proses anyaman hanya akan berlaku pada hari ketujuh.

Kerja anyaman juga bukan sesuatu yang mudah. Ia juga memerlukan masa yang panjang agar tumpuan dapat diberikan demi memastikan ia berkualiti.

Menurut beliau, anyaman pandan boleh dikatakan produk kedua yang mendapat perhatian ramai kerana produknya yang lebih murah malah tahan lama.

"Jika tidak terkena air, ia boleh tahan bertahun-tahun lamanya. Produk anyaman paling berkualiti adalah yang dibuat daripada daun bemban. Bagaimanapun, kos untuk membuatnya jauh lebih mahal, jadi banyak yang memilih daun pandan," katanya.

Seni Ukiran Buluh

Sementara itu, Edwin Sijan, 46, meneruskan seni ukiran buluh warisan Bidayuh dan walaupun banyak produk kontemporari baru yang direka, setiap satu produk itu mesti mempunyai motif yang sama.

"Sekarang ada produk baru seperti lampu meja, tabung dan Bilah lima kaki dan empat kaki, tetapi setiap produk itu mesti ada corak daun kemijing," katanya yang menjadi penyambung generasi ketiga keluarganya.

Promosi dan Rekaan

Kraftangan Sarawak membantu beliau dari segi prasarana, promosi domestik dan rekaan baru sejak menceburi bidang kraf tangan secara serius 20 tahun lepas dan mendapati bidang itu semakin mendapat perhatian kerana keunikannya.

"Penjualan sekarang bagus, dan untuk pasaran masa depan, saya rasa keadaan akan menjadi semakin baik. Ini berikutan produk yang kami buat adalah terhad dan tidak banyak lagi produk yang mempunyai corak asli Bidayuh," katanya.

Beliau berkata, buluh Baloi yang digunakan untuk dijadikan produk kraf hanya terdapat di Kampung Pichin, Serian dan ia dipilih kerana keunikannya.

"Buluh ini berkilat dan mudah untuk diukir. Ia tahan agak lama. Jika dijaga dengan baik, boleh tahan sehingga lima tahun."

"Buluh yang boleh digunakan haruslah dalam lingkungan empat ke lima bulan. Setelah diambil, ia harus direndam selama satu minggu dan kemudian perlu dikeringkan lagi supaya ia tahan lama," katanya yang menambah, proses berikutnya adalah mengukir yang memerlukan sekurang-kurangnya dua hari.

Tambah Edwin, disebabkan keunikan dan prodknya yang berkualiti, ramai yang berminat untuk menempah termasuk daripada warga Jepun.

"Sayangnya, kuantiti pengeluaran masih terhad," katanya.

Edwin memberitahu, produk kraf berasaskan buluh paling diminati para pelancong asing. Namun, produk itu kebanyakannya tidak dapat dieksport kerana faktor serangan serangga.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan penjualan, dan pada masa depan saya harap dapat merealisasikan impian untuk meluaskan lagi pasaran," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::