Putu Halba Musim Tengkujuh
(Post: Bahasa Melayu)
" Ketika ramai pejalan kaki membawa payung berwarna-warni melalui sebatang jalan utama di sekitar Kota Bharu, Kelantan, seorang wanita berteriak kepada mereka: "Tiga seringgit". "
Biarpun hujan semakin lebat, wanita itu kelihatan tidak menang tangan apabila semakin ramai pula yang singgah di gerai kecilnya yang mulai digenangi air.
"Macam inilah bila hujan, makin ramai, kuih musim bah ini memang sedap makan masa hujan, makin lebat makin sedap," katanya sambil ligat membungkus kuih untuk pelanggan.
Kuih yang dimaksudkannya adalah putu halba iaitu sejenis kuih istimewa yang mungkin hanya muncul pada musim hujan, di antara bulan November dan Disember.
Diperbuat daripada ubi kayu yang kini tidak lagi menjadi pilihan utama sajian zaman moden, keenakan putu halba masih boleh mengecurkan liur sesetengah individu terutama ketika musim tengkujuh.
"Saya pun baru kali kedua makan kuih putu halba ini, kali pertama semasa musim bah tahun lepas. Masa itu saya tengok ramai yang beratur di sebuah gerai kecil, jadi saya pun turut singgah. Rupanya mereka beli putu halba."
"Bila dicuba, sedap pula rasanya, jadi setiap musim tengkujuh saya memang tak lepas peluang beli putu halba ni. Sebab itu ia dipanggil kuih musim bah," kata Norhafizah Haris, 27.
Putu halba yang baru dimasak dan masih panas memang sedap dimakan ketika hujan kerana selepas sejuk, ia mula melekit dan terasa agak pahit, tentunya tidak lagi merangsang selera.
Tapi kenapa kuih ini hanya muncul pada musim tengkujuh?
Jawapannya ialah pada bekalan ubi. Lazimnya pada musim tengkujuh, ramai yang mula menuai ubi kayu bagi mengelakkannya rosak kerana tempat tanaman digenangi air.
Justeru, keadaan itu menyebabkan lambakan ubi kayu. Lama-kelamaan, timbul idea untuk mempelbagaikan kegunaan ubi kayu termasuk membuat kuih putu halba.
"Biasanya ubi kayu direbus atau dibakar, kemudian dimakan bersama kelapa parut dicampur gula dan sedikit garam. Ada juga yang suka makan ubi kayu bersama ikan tamban kering."
"Tetapi biasanya hanya orang tua-tua yang suka makan ubi kayu sebegitu, sebab itulah dipelbagaikan kegunaan ubi kayu ini dengan membuat kuih putu halba. Rasanya lebih sedap dan budak-budak pun suka," kata seorang peniaga putu halba, Halimah Mohamad, 52.
Pendapatan Sampingan
Halimah yang menjual putu halba di gerainya ketika musim tengkujuh berkata sudah menjadi kelazimannya membuat dan menjual putu halba sebagai pendapatan sampingan.
"Biasanya saya berniaga pisang goreng tetapi ketika musim hujan, saya akan tambahlah putu halba sekali. Jadi selain pisang goreng, ada jual putu halba. Memang sejak dari dulu dah terbiasa tengok arwah emak saya jual putu halba. Resipi turun temurunlah ni," katanya.
Halimah menambah, proses membuat putu halba sememangnya unik. Tidak seperti kuih lain, putu halba diperbuat daripada hampas ubi kayu yang dicampur manisan kelapa dan sedikit biji halba.
Ramuan membuat putu halba mudah didapati iaitu ubi parut yang dikeringkan dan dikukus dengan menggaul bersama halba. Ia berintikan gula Melaka dan bersalut kelapa parut di luarnya.
"Dulu, putu halba dimasak dengan menggunakan wap yang keluar daripada tin biskut setelah tin itu dipanaskan pada bahagian bawahnya. Acuan putu ditutup dengan tudung kendi dan tuala nipis."
"Tapi itu dulu. Sekarang tempat masak putu diganti dengan bekas keluli tahan karat yang di bahagian atasnya mempunyai beberapa lubang dan acuan. Ia lebih mudah, menjimat masa dan boleh buat dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa," katanya.
Halimah berpendapat, sekiranya kuih putu halba tidak mengalami kepupusan, suatu ketika nanti teknologi pembuatan putu pastinya mengalami perubahan iaitu dengan menggunakan peralatan yang lebih moden.
"Paling penting, biarpun menggunakan teknik moden, rasa putu halba hendaklah sama dengan yang ada pada hari ini. Bijih alba yang sederhana adalah mencukupi dan kalau tidak dimasukkan biji halba tentunya putu yang ada nanti tidak lagi bernama putu halba," katanya tersenyum.
Melihat putu halba mampu memberi rezeki tambahan, Atikah Mat Eil, 35, turut mengambil peluang membuka gerai menjual kuih itu tahun ini.
Sejak membuka perniagaan pada awal November, dia mampu mengumpul wang untuk menggantikan pendapatan daripada hasil mengambil upah melukis batik yang tidak dapat dilakukan pada musim tengkujuh.
"Kalau bulan-bulan biasa, saya akan ambil upah lukis batik. Dapat juga membantu suami menyara keluarga.
"Tetapi bila masuk musim hujan, memang saya mati akal sebab tak dapat lukis batik dan tak ada duit. Sebab itulah saya cuba buka gerai jual putu halba terutama bila tengok jiran-jiran pun ramai yang cuba buka setiap tahun. Alhamdulillah setakat ini jualan amat memberangsangkan," katanya.
Persaingan
Ibu beranak lima itu berkata, biarpun menghadapi persaingan kerana banyak gerai putu halba dibuka bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, beliau tidak kisah kerana menganggap rezeki tetap ada untuknya.
Katanya, seperti kuih moden lain, putu halba dijual tiga keping seringgit dan kadangkala dia tidak lokek menghadiahkan lebih kuih itu kepada pelanggan yang banyak membeli.
Atikah turut mengakui jualan putu halba akan meningkat apabila hujan turun, baik ketika renyai-renyai mahupun lebat.
"Setahu saya, putu halba hanya ada di Kelantan, itu pun hanya pada musim tengkujuh. Walaupun sedap dan dikatakan raja segala putu, kuih ini sudah semakin pupus. Tahun ini saya tengok tak banyak gerai macam dulu," kata Syed Daris Syed Amar, 29.
Dia yang berasal dari Kuala Lumpur namun kembali ke kampung halamannya di Wakaf Bharu, Tumpat berkata, kuih putu halba ada keenakan tersendiri dan perlu diteruskan trend pembuatannya pada musim tengkujuh perlu diteruskan.
"Biasanya putu halba masih dibuat orang di kawasan Wakaf Baharu menuju ke Kampung Laut dekat Pantai Cahaya Bulan. Di tempat lain saya jarang nampak, kalau makin pupus, sayanglah. Anak-anak kita mungkin tak dapat lihat keistimewaan musim tengkujuh yang bukan sekadar orang main air tetapi berebut membeli kuih putu halba," katanya.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment