ATTENTION !!!

Thursday, May 13, 2010

Lasak Bersama Kenaboi Adventure Team

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika aku hidang kuku ayam pun habis korang makan," kata pengasas Kenaboi Adventure Team (KAT), Khairil Anuar Zainal Azman atau Nuar apabila melihat gelagat kami ketika sibuk menikmati gulai kari ayam dan ikan kering di dewan kayu berbumbungkan daun Selebar di kem dekat Titi, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini. "

Usikan itu gara-gara melihat kumpulan kami yang begitu kelaparan selepas empat jam meredah arus deras ketika menyertai aktiviti 'tubing' di Sungai Kenaboi. Walaupun ringkas, sajian itu nyata amat membuka selera selepas bermain dengan air sungai yang dingin untuk tempoh yang agak lama.

Apa tidaknya, sedar tidak sedar, dari penempatan Orang Asli di Kuala Sungai Limau, arus sungai yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa itu sudah menghanyutkan kami sepanjang antara enam hingga tujuh kilometer.

Kudrat yang ada habis dikerah lantaran perjalanan itu melewati enam jeram berbatu yang menjadi halangan semula jadi buat peserta.

Aktiviti tubing adalah menghanyutkan diri menggunakan pelampung tiub getah. Ini sudah menjadi rekreasi air popular di beberapa destinasi ekopelancongan termasuk Taman Negara.

Berbeza dengan kayak, seseorang hanya perlu bergantung kepada tangan untuk mengawal pergerakan, sekali gus 'mengemudi' haluan tiub.

Nampak saja mudah tetapi jika tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh menyebabkan seseorang tenggelam timbul apabila meredah jeram. Seperti kayak, ada cara betul untuk kembali masuk ke atas pelampung sekiranya tercampak keluar dan mengelak daripada tersangkut di akar pokok yang berselirat di sepanjang tebing sungai.

Malah, kata Nuar, ia boleh menyebabkan kecederaan terutama apabila terseret dengan batuan di dasar sungai di kawasan lebih cetek. Paling penting, seseorang perlu mengikut 'body confidence' untuk membiasakan diri dengan arus sungai, sekali gus mengelak situasi panik sekiranya pelampung secara tiba-tiba terbalik.

Sebagai persediaan, kakitangan KAT yang terlatih dengan kursus menyelamat sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi kecemasan. Mereka yang terdiri daripada rakan hasil persahabatan yang terjalin menerusi Facebook juga sering membantu melepaskan peserta terutama apabila menghampiri kawasan jeram.

Tempoh empat jam tidak bermakna keseluruhannya bermain dengan tiup getah. Sebaliknya, peserta dilepaskan secara berperingkat dan keluar daripada air apabila tiba di kawasan terlampau cetek. Ada ketikanya, kami diarah merentas denai di tebing bagi mengelak laluan jeram yang agak berbahaya.

Peringkat pertama perjalanan ternyata lebih mudah walaupun ada kalanya perlu melalui arus agak berliku. Ini juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk membiasakan diri dengan pelampung. Pada masa sama, bermain air sambil menikmati suasana damai dikelilingi kehijauan alam semula jadi.

Pada bahagian seterusnya membawa kami ke beberapa jeram yang agak menguji minda dan fizikal. Jeram yang menanti bukan saja berliku, malah menuntut kesabaran yang tinggi. Untuk keselamatan, satu persatu peserta dilepaskan untuk mengelak pelampung kami bertembung antara satu sama lain.

Menariknya, pada bahagian kedua, Nuar mengarahkan kami berhenti seketika sambil menunggu rakan lain yang masih ketinggalan di belakang. Masa terluang digunakan untuk menikmati kedinginan air terjun semula jadi setinggi empat meter yang mencurah dari tebing setinggi kira-kira empat meter.

Alang-alang sudah basah, ada yang mandi di air terjun itu sambil mengabadikan gambar. Untung juga, rakan dari ibu kota memiliki kamera kalis air. Setidak-tidaknya, ada juga rakaman kenangan mengunjungi air terjun kecil yang muncul di tengah hutan belantara itu yang sukar dijejaki tanpa perlu mengikuti aktiviti 'tubing'.

Kilometer terakhir menjanjikan cabaran berganda buat penulis apabila beberapa kali tercampak keluar daripada tiub terutama apabila menghampiri jeram digelar 'Chicken Little'. Seperti kata Nuar, ia membuatkan peserta seperti anak ayam apabila beberapa kali tenggelam timbul dan ada kalanya terasa seperti dalam mesin basuh yang sedang berpusing.

INFO:
• KAT menawarkan pakej meliputi 43 aktiviti meliputi 'jungle based' seperti kem solo, merentas denai, mendaki Gunung Besar Antu (1,450 m ). Aktiviti 'water based' termasuk kayak dengan tahap kesukaran antara 2 dan 3 (musim panas) atau 4 dan 5 (musim hujan).

•Pakej dua hari satu malam umpamanya ditawarkan pada harga serendah RM200 (minimum lapan orang) meliputi lawatan ke penempatan Orang Asli di Kampung London, berkelah di Lata Kijang, merentas desa, tubing dan pengangkutan.

•Tapak perkhemahan juga boleh disewa dengan kadar RM10 untuk mereka yang memiliki kelengkapan sendiri atau hanya RM40 untuk menyewa khemah. Bagaimanapun, pakej boleh disesuaikan dengan keperluan dan bajet peserta.

•KAT terletak berhampiran Kampung Chennah Kenaboi, Titi Jelebu Negeri Sembilan. Untuk maklumat lanjut, layari Kenaboi Adventure Team atau hubungi Nuar di talian 013-3101581 atau e-mel kepada kenaboiadventure@yahoo.com

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::