ATTENTION !!!

Tuesday, January 5, 2010

Pakar Hipnosis

(Post: Bahasa Melayu)
"Sheila Menon, 50, ialah seorang pakar hipnosis iaitu sejenis rawatan terapi alternatif di mana hipnosis ini bukanlah ilmu hitam atau pukau sepertimana tanggapan sesetengah orang."

Untuk itu, kata Sheila, setiap tetamu mesti dilayan dengan baik bagi memastikan mereka selesa dengan rawatan yang akan dilalui.

"Intonasi suara dan cara berkomunikasi sangat penting dalam rawatan hipnosis."

"Biasanya itulah yang akan saya lakukan sebelum memulakan proses rawatan iaitu menyediakan minuman terlebih dahulu supaya mereka berasa lega," katanya yang merupakan Pengarah Urusan, Hipnosis Klinikal Kolej London (LCCH).

Beliau menjelaskan, hipnosis adalah satu proses terapi yang berguna dari segi perubatan, psikologi dan juga motivasi. Dalam kata lain, ia merupakan sejenis rawatan yang boleh membantu individu bermasalah sama ada dari segi kesihatan mental ataupun fizikal.

"Terapi ini dapat membantu individu menangani masalah seperti merokok, stres, fobia, gemuruh, gagal dalam perhubungan malah masalah berat badan."

"Minda kita akan menggunakan sebanyak 90 peratus semasa proses hipnosis. Selebihnya pesakit itu akan berada dalam keadaan sedar kerana proses tersebut akan memanfaatkan kuasa minda yang banyak."

"Dengan kaedah ini, seseorang itu akan dapat pergi lebih jauh ke alam minda dan melihat perkara yang mereka inginkan," kata Sheila yang sejak kecil lagi mengikut keluarga berpindah ke London dan mendapat pendidikan awal di situ.

Sheila melanjutkan pelajaran di Universiti Kirklees dalam bidang psikologi sebelum bertugas dalam banyak sektor perkhidmatan setelah tamat pengajian.

"Dulu ibu saya langsung tidak membenarkan saya menjadi ahli psikologi. Dia mahu saya jadi akauntan. Mujurlah bapa saya seorang yang sangat memahami dan banyak menyokong kerana yakin dengan bakat saya dalam bidang ini," kenang wanita yang berasal dari Kelantan ini.

Ketika ditanya tentang pengalaman beliau mengendalikan pesakit, Sheila menjawab: "Banyak kes yang sudah saya kendalikan."

"Ada wanita yang datang kepada saya mengadu tentang kakinya yang patah dan berat badan berlebihan telah memberi kesan kepada kesihatannya."

"Jadi apa yang saya buat ialah membawanya ke dalam proses hipnosis dan mengaitkan fikirannya ke dalam minda positif. Ia membantu dia membayangkan dirinya ketika mempunyai saiz badan yang ideal dahulu."

Tambahnya: "Saya minta dia fikirkan tentang corak pemakanan, senaman dan gaya hidup ketika dihipnosis. Tidak lama kemudian dia datang semula kepada saya dengan wajah gembira kerana dia berjaya mengurangkan beratnya sebanyak 12 kilogram."

Satu lagi pengalaman yang meninggalkan kesan buat beliau ialah semasa merawat seorang pesakit wanita yang berasa rendah diri.

"Ada juga kes kurang keyakinan diri. Wanita itu mengaku dia mempunyai masalah mulut berbau. Disebabkan itu, dia tidak yakin untuk berhadapan dengan orang ramai."

"Bila saya bawa dia pergi ke klinik untuk pemeriksaan, doktor memberitahu dia tiada masalah. Selepas itu, saya minta dia hembuskan nafas di depan muka saya."

"Saya kata kalau saya pengsan, memang betul mulutnya busuk. Kalau tidak, dia kena terima yang mulut dia tak berbau," jelasnya.

Tekad dan semangat keyakinan yang cuba ditiup Sheila kepada diri pesakit tersebut berbaloi.

"Akhirnya, baru dia yakin terhadap dirinya. Malah dia sangat yakin bila bertemu orang ramai sekarang."

Mengulas lanjut mengenai prospek kerjaya sebagai seorang pakar hipnosis di Malaysia, Sheila berkata, ia adalah satu kerjaya yang sangat bagus dan semakin diterima di seluruh dunia.

"Ramai graduan yang telah tamat pengajian dalam bidang ini kini menjadi pakar hipnosis dan psikologi yang berjaya di kebanyakan sektor."

"Kami juga melihat peningkatan yang cukup memberangsangkan dalam kerjaya ini. Ia juga banyak membantu dalam sektor perubatan dan kesihatan. Malah pusat klinikal hipnosis yang telah banyak dibuka di seluruh negara menunjukkan penerimaan yang baik daripada masyarakat luar."

CONTACT INFO:
Telefon: 03-79606439

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::