ATTENTION !!!

Sunday, December 13, 2009

Ikan Sangkar di Kampung Langgar

(Post: Bahasa Melayu)
"Pendapatan lumayan selain tugas yang tidak terlalu membebankan menjadi pendorong suri rumah, Noreha Abd Ghani, 49, menceburi bidang ternakan ikan sangkar di Kampung Langgar, Pekan, Pahang."

Selepas tiga tahun dalam bidang berkenaan, dia kini mampu berbangga apabila mempunyai 15 unit sangkar yang memuatkan lebih 30,000 ikan spesies patin dan tilapia merah.

"Kejayaan masyarakat Kemboja dalam bidang ternakan ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang menjadi pendorong kuat kepada saya untuk menceburkan diri dalam bidang yang tidak pernah diimpikan sebelum ini."

"Berkat sokongan suami, Abd Khalid Mohd Yusof, yang turut meminati bidang ternak ikan sangkar, akhirnya saya berjaya memulakan projek yang kekal sehingga kini."

"Tidak dinafikan ketika memulakan projek ini, saya berhadapan pelbagai cabaran terutama membabitkan modal. Namun, dengan bantuan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) daerah, semua masalah dapat diatasi," kata ibu kepada dua anak ini.

Noreha berkata, dia membuat pinjaman dengan Mara sebanyak RM30,000. Modal itu membolehkan dia menapak dan kini menjadi antara 50 penternak ikan sangkar di bawah bimbingan Fama daerah.

Dalam usaha menambah pengalaman, dia mengikuti kursus ternak ikan selain seminar dianjurkan Fama daerah yang sentiasa berusaha memajukan industri ikan air tawar.

Menurutnya, ikan sangkar di Sungai Pahang tidak pernah menghadapi sebarang masalah terutama dari segi pasaran, malah hampir setiap bulan bekalannya tidak mencukupi.

Harga yang ditawarkan juga lebih tinggi iaitu antara RM10 hingga RM15 sekilogram bagi ikan patin dan tilapia merah, berbanding RM6 sekilogram untuk ikan yang diternak dalam kolam.

"Walaupun berhadapan masalah harga makanan ikan yang tinggi, harga ikan yang mahal membolehkan saya dan penternak lain terus menjalankan projek ini."

"Setiap bulan saya mampu mengeluarkan antara 800 hingga 1,000 kilogram ikan patin dan tilapia merah, dengan purata pendapatan kira-kira RM8,000," katanya yang turut menternak kambing.

Noreha berkata, ternak ikan sangkar tidak memerlukan penjagaan yang terlalu membebankan, sebaliknya dia hanya meluangkan masa antara satu hingga dua jam saja sehari.

Menurutnya, ikan hanya perlu diberikan makan dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang manakala pengawasan lain lebih tertumpu kepada memastikan sampah tidak tersangkut pada sangkar.

Bagi memastikan sangkar tidak rosak seterusnya dibawa arus deras terutama pada musim tengkujuh, sangkar perlu diikat pada tebing sungai selain sentiasa mengawasi kayu balak yang hanyut.

Beliau berkata, rumahnya yang kira-kira 50 meter dari sangkar juga memudahkan dia menguruskan projek berkenaan dengan lebih sempurna.

"Untuk berjaya dalam bidang ternakan ikan sangkar, seseorang itu perlu berminat dengan ikan, tidak mudah berasa jemu dan tidak berputus asa apabila projek berhadapan masalah."

"Sebagai contoh, saya pernah berhadapan kekecewaan apabila banyak anak ikan mati disebabkan air Sungai Pahang yang berkeladak selain kesukaran mendapatkan benih berkualiti."

"Semua dugaan itu saya anggap sebagai cabaran yang akan mengajar kita erti kesukaran seterusnya akan menambahkan lagi pengalaman," katanya.

Sumber: myMetro
Foto:
blog IkanPatinTemerloh

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::