Poshtel 41 Berangan
(Post: Bahasa Melayu)
"Melihatkan suasana di bahagian dalam kontena bernombor B08 dan B09 itu, seakan-akan tidak percaya ia sebuah bilik tidur yang nyaman. Berlantai simen dan berpanel dinding rata, seseorang penginap akan mudah mencari keserasian di atas cadar kapas putih itu bagi melepaskan penat."
Dua lot rumah kedai milik persendirian di Jalan Berangan yang terletak di laluan rentas yang tidak pernah sunyi untuk ke Jalan Bukit Bintang, menjadi pilihan dua sahabat, Zulkifli Mat Jusoh dan Masila M. Ariff, mengusahakan sebuah bisnes hospitaliti untuk golongan pengembara kota.
"Nama 41 Berangan diambil terus daripada nombor dan nama jalan mengikut alamat premis ini."
"Kami rasakan sesuai kerana ia menggambarkan hasrat kami dalam perniagaan, selain sebutannya yang catchy," ujar Zulkifli.
Menggelarkan status gaya penginapan di situ dengan istilah poshtel, Zulkifli dan Masila serta seorang lagi rakan kongsi berani melaburkan kos sejumlah lebih RM200,000 bagi kegunaan pembelian perkakasan dan dekorasi.
"Kami tidak banyak melakukan proses ubah elok selain merobohkan semula dinding pembahagi yang didirikan oleh penyewa sebelum ini."
"Selain mendapatkan kembali ruang asas mengikut pelan lantai asal, kami dapati bahawa ciri siling tinggi dalam bangunan ini juga satu bonus. Ia menggalakkan peredaran udara dan pencahayaan semula jadi pada waktu siang," terang Masila.
Selain binaan konkrit, terdapat dua buah kontena besar diletakkan secara mengepung di sisi tembok bangunan. Ia membentuk sebuah halaman privasi yang dihijaukan rimbun subur palma dan melur.
"Kontena ini didapatkan dari Pelabuhan Klang dan setiap satu dibelanjakan sekitar RM10,000, termasuk ubah suai kemasan dalamannya."
"Kami telah menjalankan proses kemasan dalaman hingga setiap satu dapat dijadikan unit bilik. Ia siap dengan kelengkapan asas istirehat berserta pendingin hawa," kata Zulkifli.
"Kemasan tambahan seperti ambal, kabinet sisi dan lampu tidur ditambahkan bagi memberi gambaran ia sebuah bilik biasa," ujar Zulkifli yang memberitahu kedua-dua unit bilik itu sangat popular ditempah.
Melewati laluan lantai, sama ada yang berjubin ataupun simen polos yang digilap kilat, kelihatan terpancar imej minimalis pada susun atur dan jenis perabot yang dipilih. Bagi melengkapkan konsep itu, warna putih sangat mendominasi keseluruhan suasana di 41 Berangan.
"Falsafah putih itu mudah. Kami mahukan imej yang bersih, kemas dan ringkas. Selain menimbulkan rasa selesa, ia juga memberikan ilusi keluasan."
"Lagipun dengan latar putih, kami boleh bereksperimen dengan warna di mana-mana bahagian pada bila-bila masa," kata Zulkifli.
Tidak hairanlah juga apabila latar putih itu menyerlahkan aura warna daripada karya lukisan abstrak dan impresionis yang terdapat di sudut tertentu dinding. Bukan sekadar hiasan mata, setiap karya tersebut turut sedia dijual kepada mereka yang sudah terpaut hati padanya.
Pengurusan ruang terhad turut diberi perhatian. Kalau masalah keluasan dua buah bilik Standard dapat diatasi melalui penyediaan kamar mandi kongsi, pihak pengurusan 41 Berangan juga memikirkan untuk tidak menempatkan almari di dalam kesemua biliknya.
"Bagi tujuan menggantung pakaian, kami menyediakan sesuatu yang lebih praktikal iaitu jaring besi guna semula dan beberapa pencangkuk dawai dan penyangkut baju," terang Masila berdasarkan strategi keberkesanan kos.
Idea kreatif dua sahabat yang pernah berkecimpung dalam dunia pengiklanan ini juga dipraktikkan dalam pemilihan rangka sokongan katil.
"Lari daripada kebiasaan, mereka memilih binaan kadbod berketahanan tinggi yang dibeli dari sebuah kilang pembuatan di Balakong, Selangor. Rangka kadbod ini cukup kuat untuk menampung berat badan orang yang tidur di atas tilam yang ditampungnya."
"Konsep material guna semula juga berkualiti dan kami sedia memanfaatkannya," ujar Zulkifli yang sempat menunjukkan meja bufet sarapan yang juga dikitar semula dan dicat dengan warna putih.
Mereka menambah, keseluruhan tempat ini boleh ditempah bagi tujuan meraikan majlis tertentu seperti sambutan ulang tahun kelahiran, resepsi perkahwinan atau sekadar perkumpulan sosial bersama keluarga dan saudara-mara serta teman-teman.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment