Bisnes Melalui Rekacipta
(Post: Bahasa Melayu)
"Kejayaan menggondol tiga anugerah reka cipta bertaraf antarabangsa, termasuk satu pingat emas dan dua perak dalam Pertandingan Reka Cipta Sains Peringkat Antarabangsa di Geneva, Switzerland, membuktikan beliau mempunyai otak pencipta."
Budaya reka cipta di kalangan rakyat negara ini masih kurang menyerlah, menjadikan kita masih dianggap sebagai masyarakat pengguna iaitu hanya menggunakan ciptaan orang lain.
Bagaimanapun, kita sebenarnya tidak kekurangan tokoh dalam lapangan reka cipta seperti yang dibuktikan Md Nayan Salleh, 55, anak jati Sungai Petani, Kedah yang juga bekas Ketua Inspektor Kesihatan.
Md Nayan mula mengukir nama selepas memenangi pingat perak dalam pertandingan itu pada 1996 menerusi ciptaannya, Sistem Perlimbahan Air Kerian (SPAK).
Pada tahun berikutnya, ciptaan yang dinamakan Sistem Pelupusan Sampah Kerian (SPSK), yang menggunakan kaedah pembakaran tanpa asap, sekali lagi memenangi pingat perak dalam pertandingan sama.
Melalui pertandingan sama pada 1998, Md Nayan membawa pulang pingat emas dengan ciptaan Sistem Mencuci Pinggan Mangkuk Premis Makanan Kerian (Simpak).
Menariknya, semua ciptaannya mempunyai kaitan dengan alam sekitar yang mempunyai hubungan terus dengan kehidupan manusia seharian. Rekaannya yang diiktiraf dunia itu menyaksikan beliau diiktiraf antara genius negara.
Md Nayan memilih bersara awal sebagai Ketua Inspektor Kesihatan, tiga tahun lalu bagi memfokuskan sepenuh masa dalam bidang rekaan muncul dengan ciptaan terbaru yang dinamakan Sistem Pelupusan Bulu dan Darah Ayam Hidup (SPLAS).
Ciptaan terbaru itu adalah antara usaha beliau untuk menyelamatkan sungai yang menjadi sumber bekalan air kepada kehidupan manusia daripada dicemari sisa dan darah akibat aktiviti penyembelihan ayam di pasar.
"Saya memfokuskan tumpuan kepada reka cipta berkaitan alam sekitar kerana alam sekitar ibarat roh manusia dan jika cacat roh itu, cacatlah kehidupan kita," katanya yang memfokuskan tumpuan kepada tiga elemen alam sekitar, iaitu tanah, air dan udara.
"Kebanyakan kita berpandangan untuk mencipta sesuatu, perlu mempunyai pengetahuan tinggi dalam sains dan teknologi," katanya.
Bagaimana, katanya sebenarnya ramai pencipta adalah orang biasa yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi seperti Thomas Edison yang mencipta lampu.
Baginya, kemampuan mencipta sesuatu itu adalah anugerah Tuhan seperti konsep nabi - mukjizat, wali - keramat, orang ramai - laduni.
Md Nayan mengakui bidang reka cipta negara ini masih jauh ketinggalan, tetapi menyambut baik langkah kerajaan memfokuskan tumpuan dalam bidang sains dan teknologi, sekali gus meramaikan tenaga mahir untuk menghasilkan produk kreatif dan inovatif yang boleh dipasarkan pada peringkat global.
"Walaupun kita tidak mungkin mampu menyaingi negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan tetapi kita perlu mencuba mencipta sesuatu yang kita ada kelebihan," katanya.
Md Nayan yang membuka syarikat Kitaran Potensi Sdn Bhd bagi memperkenalkan dan mempromosikan semua rekaannya berkata, Islam juga sentiasa menggalakkan umatnya mencipta sesuatu untuk meningkatkan kemampuan diri, selain untuk kebaikan dan kesejahteraan semua.
Bagaimanapun, beliau kecewa kerana tahap melindungi harta intelek dan memelihara hak pencipta dan pereka harta intelek di negara ini masih terkebelakang berbanding negara maju.
Beliau berkata, harta intelek atau hasil reka cipta mudah ditiru, dicetak rompak dan kemudian dijual semula kepada orang ramai dengan harga yang terlalu murah.
"Saya berharap kerajaan memberi perhatian serius dengan memperkasakan undang-undang harta intelek, termasuk memastikan jabatan dan agensi kerajaan menggunakan reka cipta yang sudah dipatenkan."
"Kerajaan dan semua pihak sepatutnya menghargai pereka cipta kerana bukan mudah mereka menghasilkan sesuatu rekaan yang akhirnya keuntungan daripadanya dengan mudah dikaut oleh orang lain.
"Masalah ini yang membuat pereka cipta kecewa untuk menghasilkan lebih banyak rekaan kerana kita tidak menghargai dan mengiktiraf ciptaan itu," katanya.
Ditanya mengenai reka cipta terbarunya, Md Nayan mengakui mempunyai formula untuk mengatasi pembiakan nyamuk Aedes yang menjadi punca wabak denggi, tetapi merahsiakannya bagi membolehkan ciptaannya itu dipatenkan terlebih dulu.
INFO:
Jawatan: Pengarah Urusan Syarikat Kitaran Potensi Sdn Bhd
Anugerah:
- Memenangi Pingat Emas dan Perak Pertandingan Reka Cipta Sains Peringkat Antarabangsa di Geneva, Switzerland Pada 1996, 1997 dan 1998
- Diiktiraf Antara 10 Genius Negara
- Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1998
Rekaan:
- Sistem Perlimbahan Air Kerian (SPAK)
- Sistem Pelupusan Sampah Kerian (SPSK)
- Sistem Mencuci Pinggan Mangkuk Premis Makanan Kerian (Simpak)
- Sistem Pelupusan Bulu dan Darah Ayam Hidup (SPLAS)
- Sistem Pemusnahan Riwayat Pasangan Hidup Nyamuk Aedes
- Sistem Tadahan Tuaian Air Hujan.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment