Hiasan Dinding LexArt
(Post: Bahasa Melayu)
"Pelekat LexArt bermotif alam, Islamik kian popular sebagai alternatif hiasan."
Usaha menyediakan kemasan dinding bukan setakat memerlukan kreativiti dan idea, tetapi turut membabitkan pelaburan besar bagi merealisasikan perancangan yang ada.
Justeru, sebelum menetapkan sebarang jenis kemasan, selain mengambil kira cita rasa, wajar dipastikan juga pilihan itu bersifat tahan lama, mudah diselenggara, secocok gaya penataan dan paling penting, tema, corak serta tekstur yang ditonjolkan tidak ketinggalan zaman.
Jika sebelum ini, cat dan kertas dinding diisytihar kemasan popular, kini, sesuai peredaran masa, pelekat dinding semakin digemari.
LexArt, pelekat dinding satu warna dikeluarkan I-nai Venture Holdings Sdn Bhd (IVH) yang dijangka menerima sambutan hebat kerana menawarkan alternatif dan ilham unik bagi menggarap rupa dinding.
Pengarah Eksekutifnya, Nik Ahmed Mazlan Nik Mahidin, menyifatkan pelekat aneka pilihan warna dan motif ini mampu mengambil alih fungsi dan peranan cat serta kertas dinding.
"Meskipun pilihan warna disediakan, namun setiap motif dikhususkan kepada satu warna saja iaitu sama ada putih, hitam, biru, merah dan sebagainya. Maka, terpulang kepada kreativiti dan budi bicara individu bagi mempelbagaikan gayanya sama ada menerusi gabungan dua tiga motif yang ditempatkan bersama," katanya.
Memahami perbezaan selera pelanggan, IVH tidak menetapkan ukuran dan motif seragam bagi pelekat dindingnya sebaliknya, pembeli diberi kebebasan mengemukakan sendiri tema dan corak bersama ukuran diingini.
Manakala, yang masih buntu membuat pilihan, IVH membantu dari segi mengusulkan cadangan rekaan yang difikirkan secocok konsep kediaman.
Meskipun berbilang motif ditawarkan, kata Nik Mazlan, buat masa ini, penekanan corak membabitkan rekaan berunsur alam, mengutarakan imej Islamik serta paparan corak yang dekat dengan alam dan jiwa Melayu.
"Mesej dan slogan dipersetujui bagi kempen pelekat ini ialah Inspirasi Alam. Seperti namanya itu, kebanyakan corak yang dikeluarkan perlu berhubung rapat dengan alam semula jadi, misalnya, motif daun sirih, pucuk pokok, bunga menjalar dan tumbuhan lain," katanya sambil menambah, kebanyakan pelekat dijualnya diimport dari Amerika Syarikat dan China.
Bagaimanapun, bagi mempelbagai pilihan dan gaya, rekaan lain seperti corak haiwan, bangunan pencakar langit, permainan kanak-kanak serta wajah manusia turut diperkenalkan.
Berbanding kertas dinding yang kegunaannya khusus menghiasi dinding, produk LexArt yang memasuki pasaran Februari lalu, sebaliknya berkeupayaan menyeri sebarang permukaan rata termasuk kayu, kaca, konkrit, dinding lepa atau plaster, lantai, cermin malah siling.
"Kaedah dan teknik pemasangannya cukup mudah. Anda hanya perlu memilih ruang dan sudut kediaman yang ingin dihias dengannya sebelum menentukan tema juga motifnya. Sebaik mengenal pasti tempat, tanggal pelekat yang diperbuat daripada plastik filem itu untuk ditampal di dinding."
"Bagusnya, anda boleh menukar corak baru pada bila-bila masa tanpa khuatir dinding rosak kerana ia berciri senang tanggal, mudah dibersihkan, tanpa bau selain tidak meninggalkan cela dan bekas apabila ditanggalkan," katanya.
Begitupun, Nik Mazlan mengingatkan, usaha memasangnya memerlukan kesabaran dan daya tumpuan tinggi lebih-lebih lagi yang membabitkan corak kompleks seperti sulur ranting dan daun, motif kerawang dan kerangka halus bangunan. Bagi bahagian bermasalah seperti dinyatakan itu, IVH ada menyediakan rundingan dan khidmat pemasangan peribadi.
Selain itu, LexArt kata Nik Mazlan, bukan sekadar sesuai untuk kediaman dan bangunan komersial tetapi bahkan sumber terapi di hospital dan pusat kecantikan.
Buktinya, sejak IVH dipertanggungjawab memasang pelekat di dinding Institut Jantung Negara (IJN), pusat perubatan itu kini berubah wajah menjadi lebih ceria lagi menenangkan.
"Jelas, pelekat dinding ini berperanan mengubah tanggapan hospital yang dikatakan enjadi tempat menghuni orang sakit. Sebaliknya, melalui rekaan menarik dan artistik, segenap dinding yang diberi sentuhan itu berubah menjadi lebih mesra. Pendek kata, hospital kini semakin mirip dengan hiasan dalaman rumah kediaman dan galeri," katanya.
CONTACT INFO:
Telefon: 03-58820687
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment