ATTENTION !!!

Thursday, June 25, 2009

Penternak Lembah Kambing Kaprima

(Post: Bahasa Melayu)
"Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata Terengganu bakal menjadi pembekal baka dan pedaging terbesar di negara ini menjelang 2015, apabila usaha untuk mewujudkan Lembah Kambing Kaprima diperluaskan ke seluruh daerah."

Ketabahan empat penternak yang dipilih menternak kambing di Gugusan Lembah Kaprima Kampung Chabang, Kertih, Kemaman, ternyata berbaloi apabila mereka kini memperoleh pendapatan bersih antara RM800 dan RM1,500 sebulan.

Walaupun pada mulanya 40 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dipilih menyertai projek percubaan dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) sejak tiga tahun lalu, tetapi hanya empat peserta kekal mengusahakan ternakan berkenaan.

Antara empat peserta yang kekal meneruskan projek menternak kambing itu ialah bekas pesara polis, Mat Yazid Derahman, 58, dan Ali Muda, 58.

Ali berkata, menternak kambing bukanlah tugas sukar, tetapi ia memerlukan kesabaran dan ketekunan peserta terutama ternakan berusia satu hingga dua bulan yang mudah dijangkiti pelbagai penyakit, termasuk kembung perut dan penyakit kulit.

Katanya, pemakanan ternakan perlu diberi perhatian selain menjaga kebersihan kandang, tetapi kerja itu menjadi lebih mudah jika peserta menyediakan jadual secara tersusun.

"Kita hanya perlu membersih kandang termasuk najis sekali sehari dan memberi makan kambing tiga kali sehari termasuk rumput jenis napier (rumput gajah)."

"Setiap peserta akan dibekalkan dengan 120 ekor baka kambing, selain makanan, kandang disediakan JPH negeri," katanya.

Ali yang juga pesara posmen, berkata projek percubaan menternak kambing menerusi program JPH bertujuan membantu penduduk miskin untuk menambah pendapatan dan mengeluarkan peserta daripada terus dibelenggu kemiskinan.

"Kaedah digunakan JPH yang tidak menghalang dan memberi kebebasan kepada peserta menjual kambing tanpa had adalah langkah bijak."

"Dalam sebulan, peserta mampu menjual sebanyak 15 hingga 20 ekor kambing yang berusia lapan bulan dan pulangan diperoleh cukup baik serta mampu menambah pendapatan keluarga," katanya.

Katanya, menternak dan menjaga kambing bukanlah tugas yang menyulitkan, peserta hanya perlu mengambil masa tiga jam sehari termasuk untuk membersih kandang dan memberi makan.

"Selepas hampir tiga tahun menjadi peserta, perasaan sayang kepada ternakan akan timbul terutama apabila ternakan itu hendak dijual,” katanya.

Mat Yazid berkata, selain memperoleh hasil daripada jualan kambing, peserta juga mendapat hasil dari jualan najis kambing yang dibeli oleh pekebun kelapa sawit dengan harga RM5 dan RM7 seguni.

Katanya, hasil jualan najis kambing, peserta akan gunakan untuk membeli dedak dan daun kelapa sawit untuk dijadikan sebagai makanan tambahan ternakan.

"Kami diberi 70 ekor baka sebagai permulaan dan dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan, ternakan itu membiak dan kini kami mempunyai lebih 250 ekor kambing."

"Kami tidak menghadapi masalah untuk memasarkan kambing kerana permintaannya cukup tinggi," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
blog PPK Manjung Selatan

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::