Kedai Gunting Rambut Stylo
(Post: Bahasa Melayu)
"Siapa boleh lupakan salun atau kedai gunting rambut India atau mamak? Jika tidak lagi berkunjung ke salun ini, ingatan pasti melayang kepada zaman kanak-kanak setiap kali dibawa ayah atau ibu ke salun seperti ini."
Kepesatan sektor gaya hidup menyaksikan salun dandanan rambut tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tampil dengan beraneka konsep, salun dandanan rambut bukan lagi mensasarkan pelanggan wanita malah makin kerap dikunjungi si jejaka.
Premis yang dikunjungi oleh wartawan "Stailo" ialah Kedai Gunting Rambut Stylo di Jalan Cheng Lock, Kuala Lumpur.
Apa yang menarik, premis ini masih mengekalkan ciri klasik dalam seni bercukur. Segala peraturan dan rutin bercukur yang diamalkan di kedai gunting ini masih sama seperti zaman dulu.
Prosedur bercukur cara klasik ini masih dipertahankan Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia, sekali gus memberi pengalaman menarik buat pelanggan.
Inilah yang dirasai pegawai bank, Mohammad Nazrullizam Zainudin, 29. Beliau kerap mendapatkan khidmat bercukur di kedai gunting rambut seumpama ini.
Selain bercukur, Mohammad Nazrullizam yang menetap di Seremban, juga memilih menggunting rambut. Menurutnya, selain teknik cukuran rapi, faktor harga yang jauh lebih murah berbanding salun moden mendorong jejaka ini melanggani kedai gunting rambut tradisional.
"Tidak dinafikan ramai anak muda memilih melanggan kedai gunting rambut unisex. Ini kerana mereka ingin mendapatkan potongan rambut terbaru dan mewarnakan rambut. Namun, cara klasik yang diiamalkan di kedai gunting rambut India bagi saya tetap istimewa."
"Lebih-lebih lagi, servis mencukur jambang tidak disediakan di salun moden dan harganya jauh lebih murah," katanya.
Nyata kenyataan Mohammad Nazrullizam ada kebenarannya. Mengapa tidak, bayaran gunting rambut dan bercukur yang dikenakan hanya RM15!
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment