ATTENTION !!!

Wednesday, December 8, 2010

Portal E-Dagang PostMe Pos Malaysia

(Post: Bahasa Melayu)
" Pos Malaysia Bhd mengukuhkan lagi perniagaan runcitnya dengan menawarkan perkhidmatan portal dagangan elektronik (e-dagang) terbesar di Malaysia, PostMe. "

Perkhidmatan itu dibangunkan berasaskan konsep kedai dalam talian dengan sokongan rangkaian penghantaran terbesar seumpamanya di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, berkata buat permulaan ini 70 rakan niaga dan kira-kira 6,000 barangan boleh dibeli pengguna menerusi portal baru berkenaan.

Katanya, Pos Malaysia berhasrat menambah jumlah rakan niaga dan barangan yang ditawarkan menerusi portal itu dengan tumpuan selepas ini ialah terhadap barangan tulen bermutu tinggi dari jenama antarabangsa.

"Bagi 2011, kumpulan melabur RM5 juta untuk mengukuhkan perkhidmatan ini di kalangan pelanggan dan pelaburan akan dibuat berterusan dengan mencari lebih banyak rakan niaga masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas pelancaran portal PostMe di Subang Jaya.

Pelancaran portal itu disempurnakan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat.
Antara rakan niaga utama perkhidmatan itu buat masa ini adalah Kumpulan Naza dan Mydin.

Syed Faisal berkata, langkah Pos Malaysia terbabit dalam perniagaan peruncitan dalam talian adalah tepat pada masanya memandangkan kumpulan itu mempunyai keupayaan dalam menggabungkan ciri keselamatan beli-belah dalam talian dengan rangkaian penghantaran sedia adanya di kira-kira 700 cawangannya di seluruh negara.

"Ini bermakna, kami berupaya mengendalikan proses itu dari awal iaitu ketika pelanggan memilih produk, pembayaran sehingga penghantaran terus kepada mereka," katanya.

Beliau menegaskan, Pos Malaysia yakin sambutan terhadap perkhidmatan demikian berdasarkan empat kekuatan utama yang dimiliki kumpulan itu iaitu jenamanya yang dipercayai, perniagaan terasnya sebagai penyedia perkhidmatan penghantaran, platform e-dagang paling selamat dan barisan tawaran produk terbesar dalam pasaran.

"Kita juga mendapati arah aliran perbelanjaan dalam talian meningkat berikutan bertambahnya kadar penembusan Internet di Malaysia dan tahap keselamatan dalam talian yang semakin baik," katanya.

Syed Faisal menambah, portal itu juga menyediakan saluran lebih mudah kepada syarikat yang berhasrat memasarkan produk mereka secara dalam talian.

"Kami terbuka kepada semua syarikat yang mempunyai produk berpotensi untuk dijual menerusi portal ini. PostMe bakal menjadi antara portal e-dagang terbesar di Asia," katanya.

PostMe yang beroperasi 24 jam sehari menawarkan barisan luas produk yang dibeli pengguna, seperti pakaian, alat kosmetik, permainan dan kelengkapan.

Bayaran boleh dibuat menerusi kad kredit Mastercard dan Visa, bayaran tunai melalui akaun simpanan atau semasa beberapa bank terpilih dan kaunter pejabat pos.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: PostMe

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::