ATTENTION !!!

Tuesday, June 8, 2010

Projek Ladang Ayam Windflex

(Post: Bahasa Melayu)
" Reban ayam sering dikaitkan dengan persekitaran kotor dan bau yang kurang menyenangkan. Malah ia juga menjadi tempat lalat membiak hingga boleh mengganggu ketentaraman awam. "

Tetapi dengan perkembangan teknologi, masalah itu dapat diatasi melalui konsep reban tertutup atau windflex.

Dalam siri lawatan Agrochallange Putrajaya-Pekan, Pahang, para peserta telah didedahkan dengan teknologi penternakan ayam yang berasal dari Itali itu.

Menurut Pengurus Projek Ladang Ayam Windflex, Habibunnajar Yusof, konsep windflex bermaksud, reban ayam yang boleh diselaras suhu, masa makan boleh ditentukan dan keadaannya tertutup yang boleh mengawal penyakit daripada merebak.

Berkongsi cerita mengenai kaedah ternakan ayam, Habibunajar berkata, ia mula dibangunkan pada tahun 2004 dan mula menempatkan anak-anak ayam dua tahun kemudian.

"Pada mulanya kami mendirikan dua buah reban dengan kapasiti 40,000 ekor ayam pada satu-satu masa," katanya semasa menyampaikan taklimat kepada peserta."

Bagaimanapun, jelas Habibunnajar, apabila permintaan dan tempahan semakin bertambah, pihak pengurusan membuat keputusan untuk membina dua buah bangunan lagi.

Selain itu, bangunan sedia ada juga diubahsuai bagi menjadikannya reban ayam dua tingkat tertutup.

"Walaupun reban ayam windflex bertutup, ia tidak mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan seperti reban ayam lain," katanya.

Bermula dengan kapasiti 40,000 ekor ayam kemudian ditambah kepada 80,000 ekor, kini reban berkenaan boleh menampung sehingga 160,000 ekor ayam pada satu-satu masa.

Habibunnajar berkata, beliau menggunakan konsep ternakan ayam Windflex kerana teknik konvensional menghadapi pelbagai masalah penyakit.

Pada masa sama, permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan menyebabkan pihak pengurusan mengambil keputusan membangunkan sebuah ladang ternakan ayam berkonsepkan windflex itu.

"Dalam masa dua tahun, kami mengeluarkan modal sebanyak RM220,000 bagi membangunkan sebuah tapak lagi," katanya.

Windflex merupakan teknologi terkini bagi menternak ayam daging.

"Bagaimanapun teknologi berkenaan memerlukan kos yang tinggi dan kami sentiasa berusaha bagi mendapatkan hasil yang terbaik," katanya.

Ketika ini, Ladang Ayam Windflex menjalinkan kerjasama dengan salah sebuah syarikat makanan berasaskan ayam dan mendapatkan bekalan anak-anak ayam dari Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Ayam yang diternak menggunakan teknologi windflex juga boleh dituai dalam tempoh 34 hari.

Ini dapat mengurangkan kos makanan kerana ayam yang diternak dapat dijual dalam masa yang singkat.

"Menggunakan teknologi berkenaan kadar kematian adalah rendah hanya dua hingga tiga peratus saja berbanding kaedah konvensional," katanya.

Habibunnajar berkata, setiap reban juga memerlukan tenaga kerja minimum kerana pekerja hanya diperlukan untuk memantau ayam di reban.

Menerusi sistem itu juga, ternakan diberi makanan secara automatik mengikut masa yang ditetapkan bagi mengurangkan pembaziran.

"Pekerja tambahan hanya diperlukan semasa menangkap ayam dan membersihkan reban sebelum anak ayam yang baru tiba di ladang."

"Kaedah ini berjaya mengurangkan kadar kematian anak ayam dua hingga tiga peratus semusim berbanding dengan kaedah sebelum ini," katanya.

Selain itu teknologi windflex yang digunakan boleh meningkatkan berat ayam yang dipelihara dengan cepat.

Anak-anak ayam diberikan makanan secara berperingkat bermula dengan makanan permualaan, medium dan pembesaran mengikut peringkat umur.

Sistem reban ayam windflex mempunyai banyak kelebihan kerana ayam yang dipelihara susah mendapat penyakit, cuaca dan suhu boleh dikawal dan makanan yang diberikan tidak berlebihan atau membazir.

Manakala saiz reban dua tingkat menjimatkan ruang serta lebih banyak ayam dapat dipelihara pada satu-satu masa.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::